"Pak cik salah faham. Saya nak tanding presiden Umno 2021!" - Berita Semasa | mStar

"Pak cik salah faham. Saya nak tanding presiden Umno 2021!"

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2018 6:45 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan beliau akan kekal bersama Umno dan berhasrat bertanding jawatan presiden parti itu pada tahun 2021.

Khairy berkata demikian susulan sekeping gambar dimuat naik seorang pengguna Twitter yang memaparkan mimik wajah kurang selesa Khairy di sisi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengguna Twitter @HajiMat5 turut menulis pantun seolah-olah menggambarkan situasi dan mimik wajah Khairy dalam foto tersebut.

Kelat pisang kelat,
Muka bujur tahi lalat,
Batu pisang batu,
Aku dan Zahid tak sebulu,
Alahai MT pecatlah aku.

Posting yang dimuatnaik HajiMat5 mendapat perhatian netizen.

Foto tersebut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang turut memberi reaksi balasnya mengenai perkara tersebut.

"Pakcik salah faham. Saya tak mahu dipecat. Saya nak bertanding jawatan presiden tahun 2021. Presiden Umno," tulis Khairy.

Tweet Khairy turut diulang kicau sebanyak 471 kali dan mendapat 1,500 tanda suka.

Rata-rata netizen memberi sokongan kepada Khairy untuk bertanding jawatan No 1 dalam Umno itu.

@Asyraafazraei berkata:"Wahai pak cik yang kami hormat. Kami anak muda semua sokong KJ dan mahu KJ jadi presiden Umno. Pakcik doakan yang baik-baik ye. Assalamualaikum pakcik."

Kenyataan balas Khairy turut mendapat sokongan netizen.

@Fyerooz berkata: "Saya sokong @Khairykj jadi presiden Umno. Jangan putus asa!!."

@Prince_Hilmy berkata: "@Khairykj perlu jadi Presiden 2021 nanti supaya dapat kembalikan kegemilangan Umno."

@Awabumbum berkata: "Jika saya boleh mengundi, saya akan undi Khairy untuk jawatan presiden Umno 2021. Dia masa depan kita."

Khairy bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan dua calon lain tewas kepada Ahmad Zahid dalam perebutan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti akhir Jun lalu.

Sebelum ini timbul khabar angin beliau akan meninggalkan Umno selepas tewas dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan presiden.

Bagaimanapun, Khairy tetap bertegas akan kekal bersama Umno dan menyifatkan ketiadaannya dalam barisan kepemimpinan parti membolehkannya bersuara secara bebas mengkritik dasar dan aktiviti parti yang canggung dengan perkembangan politik hari ini.

Tags / Kata Kunci: Khairy Jamaluddin , presiden , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan