Empat maut dalam kemalangan ketika ribut melanda Perlis - Berita Semasa | mStar

Empat maut dalam kemalangan ketika ribut melanda Perlis

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2018 8:56 AM

Salah sebuah kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan pada Isnin malam. FOTO: Facebook Aman Shah II

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Sepasang suami isteri dan seorang anggota polis maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung ketika ribut kuat melanda, dalam kejadian di Bukit Cabang, Padang Besar, Isnin malam.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Hafiz Johari, 28, dan isterinya Siti Asmah Abdul Khalid, 27, yang sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak hari ini, serta Konstabel Muhamad Amirul Naim Aziz, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Supritendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian itu berlaku apabila Perodua Kancil dipandu Muhammad Amirul Naim bertembung di simpang Bukit Cabang dengan Nissan Murano dipandu Hafiz yang datang dari arah Kangar.

“Konstabel polis terbabit dalam perjalanan pulang dari rumah mentuanya di Padang Besar ke Seriab di Kangar bersama isteri Ku Noor Shakila Ku Sharudin, 25, dan dua anak perempuan mereka, Mia Iris Safiya, 2 tahun dan Maya Iris Safiya, 4 bulan.

“Mia Iris Safiya berada dalam keadaan kritikal manakala Ku Noor Shakila dan Maya Iris Safiya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Unit Forensik HTF pagi Selasa.

Mohd Nor Marzukee berkata, bedah siasat mayat ketiga-tiga mangsa akan dijalankan hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang remaja berumur 15 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok yang tumbang melintang jalan akibat dipukul ribut kuat di Jalan Tandop Kampung Baru Tok Kuning dekat Kangar kira-kira 11.45 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew, mangsa Muhammad Kamal Haikal Roslan menaiki motosikal bersama seorang rakan dari rumahnya di Kampung Baru Tok Kuning menuju ke Jalan Datok Ali, Kangar.

“Dalam keadaan ribut dan hujan, remaja itu dipercayai merempuh pokok yang melintang jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya dihantar ke HTF untuk diberi rawatan,” kata Wari.
-- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Ribut
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan