Elak memandu, berada di tempat terbuka ketika cuaca buruk - MetMalaysia - Berita Semasa | mStar

Elak memandu, berada di tempat terbuka ketika cuaca buruk - MetMalaysia

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2018 3:09 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejadian hujan lebat serta angin kencang yang melanda Perlis malam Isnin disebabkan fenomena cuaca yang dikenali sebagai garis badai.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata garis badai yang merupakan keadaan di mana jajaran awan ribut petir berada dalam satu garisan berlaku apabila angin kencang dari Laut Andaman bertembung dengan angin perlahan di utara Selat Melaka.

Katanya awan ribut petir yang terbentuk itu bergerak laju dari laut ke darat dan kebiasaannya ia berlaku di Selat Melaka serta di pantai barat Sabah pada waktu ini dan dijangka berakhir sama ada akhir bulan ini atau bulan depan (Oktober).

“Fenomena garis badai lazimnya berlaku pada lewat malam atau awal pagi dan tempoh hayat angin kencang dan hujan lebat adalah singkat berikutan pergerakan dan perubahan awan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian ribut serta hujan lebat yang melanda hampir semua kawasan di Perlis malam Isnin sehingga menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan yang meragut nyawa selain kerosakan rumah dan kemudahan awam serta banyak pokok tumbang selain gangguan bekalan elektrik.

Mohd Hisham berkata orang ramai harus sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan berada di tempat yang selamat pada kadar segera, serta tidak mengambil risiko untuk meneruskan pemanduan atau menunggang motosikal ketika cuaca buruk.

“Stesen Meteorologi di Chuping, Perlis, malam tadi merekodkan kelajuan angin melebihi 70 km sejam. Kelajuan angin ini bahaya untuk orang ramai berada di kawasan risiko dan terbuka kerana ia boleh mengakibatkan pokok tumbang dan lain-lain barang yang mungkin melayang.

“MetMalaysia sentiasa memantau situasi cuaca ekstrem ini dan akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai dan melaporkan ramalan cuaca untuk pengangkutan udara dan laut,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi myCuaca pada telefon bimbit pintar, laman sosial Facebook Malaysiamet dan Twitter @malaysianmet, SMS 15888 atau talian hotline 1300 22 1MET (1638). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: MetMalaysia , ribut , Perlis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan