Papagomo akui bukan lagi ‘budak KJ’ - Berita Semasa | mStar

Papagomo akui bukan lagi ‘budak KJ’

Diterbitkan: Isnin, 17 September 2018 7:34 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gara-gara satu tweet balas Khairy Jamaluddin, Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris mengisytiharkan bahawa dia bukan lagi ‘budak KJ’.

Semuanya tercetus apabila Khairy atau lebih mesra disapa KJ meminta Wan Muhammad Azri atau Papagomo agar duduk diam sambil memakai baju gabungan Umno Pas yang sangat hodoh.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bukan raja, Umno perlu lawan kemahkotaan politik di PD - KJ

"Saya terkejut sebab apa masalah KJ (Khairy) ni kan? Saya ralat dan kecewa dengan KJ. Saya budak KJ sebab banyak sokong KJ tanpa henti.

"Bermula 2009, sampai selepas pemilihan presiden pun masih sokong KJ. Tapi hari ini kalau cakap saya tak sokong KJ, buta-buta saya tak sokong KJ lah," katanya melalui siaran FB Live pada petang Isnin.

Setakat ini, video berdurasi sejam oleh Wan Muhammad Azri itu mendapat lebih 15,000 tontonan di Facebook.

Wan Muhammad Azri ketika merakamkan kenyataan secara FB Live pada petang Isnin.

Wan Muhammad Azri yang turut menawarkan diri untuk menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan datang itu tidak peduli sekiranya orang luar menganggap dia tidak mengenang jasa Khairy.

"Biarlah, orang nak cakap saya tak kenang jasa ke, menang exco kerana ihsan KJ sekali pun, saya tak peduli sebab pada saya, kita masuk politik ni kena ada prinsip.

"Saya masuk politik sebab agama, bangsa dan negara, bukan sebab pemimpin," jelasnya yang turut dikenali sebagai penulis blog.

Menurut Wan Muhammad Azri, dia berhak menghentam Khairy secara terbuka kerana mengikut kebebasan bersuara yang turut dilakukan ahli Parlimen Rembau itu terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Blogger itu turut berkata, tindakannya memakai baju gabungan Umno-Pas itu menunjukkan dia boleh membuang ego dan ketepikan masalah lamanya dengan PAS demi penyatuan ummah.

Komen antara Wan Muhammad Azri dan Khairy yang mencetuskan ketegangan antara mereka berdua.

"KJ bantai Datuk Najib, okay itu hak KJ. Tapi hari ini pun hak saya jugak. Saya pun tak faham kenapa KJ menolak penyatuan ummah.

"Apa yang salahnya dengan saya pakai baju PAS dan Umno tu? Apa salahnya saya tempah baju tu? Saya bayar baju tu RM140. Mungkin KJ geli dan alah dengan penyatuan ummah ni.

"Apa yang 'fugly' sangat? Memang aku tak kacak macam kau. Tapi janganlah kerana aku berkempen untuk penyatuan ummah, kau takrifkan aku sebagai 'f****** ugly'," katanya.

Terdahulu, Khairy mahu Umno dan Barisan Nasional bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson demi melawan "shameless political entitlement" walaupun bertanding di kerusi yang sukar untuk menang.

Wan Muhammad Azri membalas kenyataan Khairy dengan berkata, Umno tidak perlu bertanding dan biarkan sahaja Anwar menang.

"Tak nak lawan sudah. Awak duduk tepi sambil pakai baju gabungan Umno-PAS yang fugly (sangat hodoh) tu. Jangan kacau orang yang nak lawan," tulis Khairy.

Tags / Kata Kunci: Papagomo , Khairy Jamaluddin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan