Ketika anak autistik ditahan, kenapa si ibu kata "kamu bagai dalam filem Gerak Khas" - Berita Semasa | mStar

Ketika anak autistik ditahan, kenapa si ibu kata "kamu bagai dalam filem Gerak Khas"

Diterbitkan: Isnin, 17 September 2018 11:31 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ibu pemuda autistik yang ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang wanita terpaksa memberitahu anaknya bahawa dia umpama beraksi dalam filem Gerak Khas semata-mata untuk menenangkannya.

Pada 11 September, Ahmad Ziqri Morsidi, 22 telah ditahan kerana didakwa mencabul kehormatan seorang wanita.

Pemuda menghidap autisme itu dibawa ke mahkamah dan ditahan reman pada keesokkannya, sekali gus bermakna terpaksa bermalam dalam lokap balai polis.

Ibunya, Hasnah Abdul Rahman memberitahu The Star pada Ahad bahawa anak lelakinya yang dikurniakan dengan tahap pemikiran terhad ini tidak akan faham kesan tindakannya juga kenapa dia ditahan.

"Saya tidak menyalahkan pihak polis, juga tidak salahkan pengadu. Meletakkan diri saya dalam situasi yang dialami wanita berkenaan, tentunya ia sesuatu yang menakutkan, terutama apabila mereka tidak didedahkan dengan autisme, malahan anak saya pula kelihatan seperti pemuda normal," katanya.

Bagaimanapun, Hasnah berharap pihak polis dapat mengendalikan anaknya yang unik itu dengan cara berbeza.

"Kita perlu tangani perkara ini dengan betul dan polis juga harus lebih banyak berinteraksi dengan pihak yang mempunyai pengalaman dalam hal ini supaya mereka lebih faham bagaimana untuk mengendalikan kes seperti ini," katanya sambil menambah bahawa dia tidak maklum sama ada pihak polis mempunyai operasi prosedur standard (SOP) khusus untuk kes melibatkan Orang Kurang Berkeupayaan (OKU).

Katanya lagi, polis memohon tempoh reman selama empat hari tetapi ia ditolak majistret, sebelum Ahmad Ziqri dibebaskan dengan jaminan polis.

Anak lelakinya disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul.

"Saya tidak kisah jika polis mahu melakukan ujian darah atau kesihatan kerana kami boleh membawanya," katanya.

Beliau menambah, selepas membawa anaknya pulang, perlakuan Ahmad Ziqri berubah.

"Sebaik sampai ke rumah dari mahkamah, dia tidak mahu menukar pakaian dan makan," katanya yang lega apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberi khidmat kaunseling untuk anaknya pada Isnin (17 September).

Hasnah berkata, anaknya seorang yang lembam dan kebiasaannya mengambil masa sehingga dua tahun untuk membangunkan keupayaannya dalam sesuatu.

"Dia pintar tetapi ia gunakannya untuk sesuatu yang tidak membantu dirinya dalam kehidupan harian. Memorinya juga bagus tetapi tidak dapat mengikat tali kasutnya sendiri. Mungkin bagi yang normal ia sesuatu yang biasa tetapi bagi dirinya ia satu cabaran walaupun untuk mengikat tali kasut," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Ziqri , autistik
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan