Tidak cuba ubah sikap pasangan antara resipi mahligai Tun M, Dr Siti Hasmah bertahan 62 tahun - Berita Semasa | mStar

Tidak cuba ubah sikap pasangan antara resipi mahligai Tun M, Dr Siti Hasmah bertahan 62 tahun

Diterbitkan: Ahad, 16 September 2018 4:57 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin tertua di dunia, mendedahkan rahsia perkahwinannya yang kekal bahagia dengan teman sehati dan sejiwanya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selama 62 tahun.

Perdana Menteri berkata toleransi serta perlunya menimbangkan perasaan pasangan dan masa depan anak-anak juga faktor penting dan kunci kepada hubungan mereka yang indah dan manis yang dikagumi oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, beliau berkata tiada siapa akan mampu mengubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan masing-masing sebagai cara untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.

Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, katanya beliau sentiasa terkenangkan kehidupan indah di waktu muda bersama-sama Dr Siti Hasmah yang juga menjadi tulang belakang kejayaannya.

"Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita," kata perdana menteri berusia 93 tahun itu. 

"Pada awalnya sudah pasti, semasa kami masih muda, kami ada perbezaan, ketegangan dan semua itu. Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar bahawa anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu," katanya.

Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Dr Siti Hasmah sentiasa menemaninya walaupun  tidak terlibat dalam politik.

"Beliau menemani saya dan jika saya terpaksa tinggalkannya kerana saya ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan, jadi saya fikir perlu ada toleransi," katanya.

Dr Mahathir turut menekankan akan perlunya menimbangkan perasaan anak-anak kerana adalah satu bencana bagi keluarga apabila ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.

"Anak-anak tidak akan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi anda perlu prihatin terhadap anak-anak anda," katanya. 

Pasangan itu bertemu di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini sebahagian National University of Singapore) pada 1947 dan berkahwin pada 1956.

Dr Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri dari 1981 sehingga 2003, menjadi perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, sebelum kembali menjawat jawatan nombor satu itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun ini.

Wawancara penuh dengan Dr Mahathir, yang diadakan bersempena Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Meningkatkan Kehidupan, Menghubungkan Komuniti  2018 pada 9 Okt, 2018, disiarkan oleh BNC semalam dan diulang siar pada 11.30 malam Ahad, 5 petang (Isnin), 12 tengah hari dan 5 petang (22 Sept), 5 petang ( 23 Sept), 9 pagi (29 Sept) dan 5 petang (30 Sept).

BNC bersiaran di saluran Astro 502, Unifi TV 631 dan MYTV 121 dan boleh ditonton di seluruh dunia di laman web www.bernama.com, Facebook dan YouTube.

Tags / Kata Kunci: Dr Mahathir , Dr Siti Hasmah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan