Bengang tak dapat nombor TAC, scammer ‘curi’ gambar di FB balas dendam - Berita Semasa | mStar

Bengang tak dapat nombor TAC, scammer ‘curi’ gambar di FB balas dendam

Diterbitkan: Ahad, 16 September 2018 9:36 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gambar paparan (display picture) yang digunakan pada WhatsApp seorang lelaki yang didakwa menipu orang ramai dengan meminta TAC (Kod Pengesahan Transaksi) adalah bermotifkan balas dendam, ujar pemilik gambar tersebut, Muhammad Wafi Abdul Rahim.

Menurut Wafi dia nyaris menjadi mangsa penipuan pada 11 September lalu apabila seorang lelaki menghubunginya meminta nombor TAC.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit dalam akaun lesap: "Selepas angkat panggilan tu saya jadi 'blur', baca nombor TAC..."

“Akaun saya digodam dan dia cuba meminta TAC untuk transaksi sebanyak RM300. Saya memang tidak melayannya.

“Mungkin bengang sebab gagal menipu saya, dia letakkan gambar saya di WhatsAppnya. Selepas itu saya terus membuat laporan polis,” katanya.

Jelas Wafi, gara-gara gambar tersebut dia dihujani banyak panggilan.

“Apa yang pelik, gambar yang dia gunakan itu diambil daripada Facebook. Saya tidak tahu bagaimana dia mencerobohnya.

“Hari ini saya buat sekali lagi laporan polis selepas gambar saya menjadi viral.  Saya bimbang sebab ada juga yang percaya.

“Hari Selasa nanti, saya akan ke SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk membuat laporan dan menyekat nombor tersebut.

“Sehingga kini nombor itu masih lagi aktif, dan saya cuba menghubunginya namun tidak diangkat.

“Saya minta tolong orang ramai jangan mudah percaya dengan gambar yang diletakkan di DP oleh ‘scammer’.

“Secara rasionalnya, penipu tidak akan meletak gambarnya sendiri,” tambah Wafi.

Wafi bernasib baik kerana gagal diperdayakan lelaki itu, sebaliknya dalam satu lagi kes yang sama, seorang wanita lesap RM2, 200 selepas mendakwa tidak sedar memberi TAC kepada pemanggil tersebut.

Tags / Kata Kunci: pukau
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan