Bunuh kucing: Permaisuri Selangor zahir rasa sedih - Berita Semasa | mStar

Bunuh kucing: Permaisuri Selangor zahir rasa sedih

Diterbitkan: Sabtu, 15 September 2018 12:28 PM

Foto kredit: Royal Selangor Office

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita berhubung kes penganiayaan secara kejam terhadap seekor kucing di Gombak, baru-baru ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Facebook Pejabat Sultan Selangor semalam baginda bertitah, turut terkejut dengan perbuatan tersebut.

“Saya terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sarat mengandung,” katanya.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS) secara rasmi sudah menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia meminta pelaku dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.

Dalam surat itu baginda menyatakan perbuatan terbabit turut mengundang kesedihan pencinta haiwan yang lain.

“Saya minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan pihak berwajib kenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah supaya perbuatan seumpama ini tidak berulang.

“Saya menyokong usaha setiap individu yang dapat kemukakan bukti penganiayaan terhadap haiwan kepada pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat dilakukan segera,” katanya seperti ditulis dalam kandungan surat tersebut.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah masyarakat harus peka bahawa haiwan mempunyai hak dan dilindungi di bawah undang-undang malah penderaan dan penganiayaan terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan tidak harus berlaku sewenang-wenangnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua lelaki bertindak mendera kucing hingga mati dalam mesin pengering di kedai dobi Gombak Ria, dalam kejadian Selasa lalu.

Polis kemudian memaklumkan dua suspek dipercayai terlibat dengan kes itu ditahan awal pagi semalam.

Di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Tags / Kata Kunci: Permaisuri Selangor , Norashikin , kucing
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan