Saya bukan tak sabar nak jadi PM - Anwar - Berita Semasa | mStar

Saya bukan tak sabar nak jadi PM - Anwar

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2018 10:35 AM

Anwar Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mempunyai motif tersendiri atau tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri kerana bertanding di kerusi Port Dickson, tetapi sebaliknya mahu membantu melakukan pembaharuan Parlimen.

Presiden PKR itu berkata: "Hubungan saya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad adalah baik dan saya tidak mempunyai sebarang tanggapan buruk apabila saya memutuskan bertanding dalam pilihan raya kecil."

Anwar berkata, beliau sudah menyatakan hasratnya untuk bertanding dua minggu lalu.

"Matlamat saya adalah untuk diberikan laluan memasuki Parlimen dan membantu rakan-rakan seperjuangan saya dalam merangka rangka kerja dasar dan perundangan untuk kepentingan rakyat," katanya ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini, Khamis malam.

Anwar berkata, beliau tidak peduli sekiranya pemimpin partinya sendiri mengkritiknya. 

Bagaimanapun, mereka harus mengetahui batasan ketika mengulas 'isu tertentu' kerana semua pihak tahu terdapat persepakatan dalam kalangan pemimpin gabungan Pakatan Harapan bahawa beliau akan bertanding di kawasan parlimen sebaik sahaja beliau diberikan pengampunan dan dibebaskan dari penjara.

"Malah, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah tidak mempunyai masalah untuk mengosongkan kerusi buat saya.

"Tetapi ada di dalam parti itu dilihat mengkritik langkah itu," katanya.

Anwar berkata, beliau menggalakkan kebebasan bersuara tetapi perlu berwaspada ketika mengulas mengenai kepimpinan parti.

"Sebagai presiden, tugas saya ialah menjaga integriti dan perpaduan parti," katanya.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , Port Dickson
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan