Debudu: Budu dalam bentuk serbuk bakal tembusi pasaran antarabangsa - Berita Semasa | mStar

Debudu: Budu dalam bentuk serbuk bakal tembusi pasaran antarabangsa

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2018 8:55 AM

Budu kini dihasilkan dalam bentuk serbuk untuk memudahkan ia dipasarkan ke luar negara. FOTO: Pusat Pengajian Sains Dan Teknologi Makanan - PPSTM UMT

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Budu lazimnya dinikmati dalam bentuk sos, tetapi kini makanan tradisional masyarakat di Pantai Timur Semenanjung itu boleh didapati dalam bentuk serbuk.

Budu serbuk atau ‘Debudu' merupakan inovasi sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPTSM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (FRIM), yang mengambil inisiatif itu dengan matlamat untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua penyelidik Dr Fisal Ahmad berkata kaedah pembungkusan sedia ada menjadi halangan untuk budu menembusi pasaran luar negara ekoran sos ikan bilis itu berbentuk cecair dan mempunyai aroma yang sangat kuat.

“Inovasi budu dalam bentuk serbuk mempunyai banyak kelebihan dan sesuai untuk tujuan komersial kerana cirinya yang lebih ringan, tahan lama, mudah dibawa, menjimatkan ruang dan kos serta kegunaan yang pelbagai.

“Pengguna hanya perlu melarutkan kembali serbuk budu ke dalam bekas menggunakan air kosong dan ia akan kembali seperti keadaan cecair asal tanpa ada perubahan warna serta rasa,” katanya.

Katanya pasukannya mengambil masa enam bulan untuk menjalankan kajian dengan sokongan dana sebanyak RM100,000 daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Menurut Fisal, teknik penghasilan budu serbuk sama seperti susu tepung iaitu menggunakan mesin Ultra Sonic Spray Dried.

“Apa yang berlaku ialah larutan budu ditapis dan dicampur dengan maltodektri, iaitu sejenis bahan yang boleh mengekalkan perisa dan membantu pembentukan pepejal serbuk budu semasa proses pengeringan berlaku.

Larutan tersebut akan disedut masuk melalui bahagian kepala semburan mesin yang akan menukar cecair tadi kepada bentuk semburan halus,” katanya.

Kerja keras kumpulan ini membolehkan mereka menggondol beberapa anugerah iaitu pingat perak pada Konvensyen Antarabangsa, Pameran Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2009, pingat emas Pameran BioMalaysia KLCC dan tempat pertama Pertandingan Inovasi Kebangsaan Melalui Pameran 2018, menerusi produk Debudu yang diinovasi dalam bentuk serbuk perasa.

Pada masa ini, UMT sedang mencari syarikat atau agensi yang berminat untuk mengkomersialkan produk Debudu ke pasaran tempatan dan luar negara dalam usaha memartabatkan makanan tradisional masyarakat Pantai Timur itu.

“Produk Debudu telah dihasilkan pada 2009, tetapi usaha memasarkannya terhenti seketika kerana saya melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala anggota yang lain sibuk dengan komitmen sebagai pensyarah dan sebagainya.

“Bagaimanapun kami ingin memajukan kembali produk ini supaya ia dapat menembusi pasaran luar sekali gus membantu melonjakkan ekonomi masyarakat tempatan yang terlibat dalam industri perikanan,” katanya.

Fisal berkata produk Debudu dihasilkan dalam tiga variasi iaitu perasa asli, perasa tambahan (cili dan bawang) serta serbuk perasa yang sangat lazat jika digunakan bersama daging burger dan masakan yang dipanggang atau dibakar. -- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan