Ahmad Awang, Lat dianugerah Tokoh Maal Hijrah Perak - Berita Semasa | mStar

Ahmad Awang, Lat dianugerah Tokoh Maal Hijrah Perak

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2018 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang dan kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid atau dikenali sebagai Lat menerima anugerah tokoh sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Perak, Selasa.

Ahmad, 82, anak jati Semanggol yang juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia dinobatkan Tokoh Maal Hijrah, sementara Lat, 67, yang terkenal dengan karya Kampung Boy diumumkan sebagai Tokoh Ar Ridzuan.

Ahmad yang aktif dalam politik sekitar 1984 pernah menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Lat yang juga anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 13 tahun sehinggakan karya Kampung Boy yang diterbitkan pada 1979 membawa nama Malaysia ke serata dunia.

Masing-masing menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, medal, hadiah iringan, plak dan sijil.

Masjid Ar Ridzuan, Parit Buntar pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pengurusan Masjid manakala Tanah Perkuburan Islam daerah Hilir Perak menerima Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan.

Masing-masing menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Sambutan Maal Hijrah di negeri ini bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.


Tags / Kata Kunci: Lat , Maal Hijrah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan