Pusat pengundian PRK Balakong, Seri Setia dibuka 8 pagi ini - Berita Semasa | mStar

Pusat pengundian PRK Balakong, Seri Setia dibuka 8 pagi ini

Diterbitkan: Sabtu, 8 September 2018 8:15 AM

(Ubah saiz teks)

BALAKONG: Sebanyak 16 pusat pengundian dengan 128 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan 18 pusat pengundian dengan 115 saluran bagi PRK DUN Seri Setia dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 14 sekolah dan dua dewan dijadikan pusat pengundian bagi PRK DUN Balakong, manakala pusat pengundian DUN Seri Setia melibatkan 14 sekolah, sebuah politeknik dan tiga dewan.Kesemua pusat pengundian akan ditutup pada 5.30 petang ini.

DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing mempunyai 62,219 dan 50,692 pemilih berdaftar.Pada Selasa lepas, sebanyak 90 peratus daripada 31 pengundi awal di DUN Balakong dan 77 peratus daripada 2,770 pengundi awal di DUN Seri Setia telah menunaikan tanggungjawab mengundi di tiga pusat pengundian iaitu di Kuarters Balai Polis Seri Kembangan, Dewan Serbaguna Ababil Pangkalan Udara Subang dan Kompleks SMS PDRM, Shah Alam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi bagi kedua-dua PRK dan keputusan dijangka diumumkan seawal 9 malam dan selewat-lewatnya pukul 10 malam ini.

Proses penjumlahan undi bagi DUN Balakong akan dilakukan di Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di Bangi manakala bagi DUN Seri Setia pula adalah di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

PRK Balakong dan PRK Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong manakala calon PH Halimey Abu Baka menentang calon PAS Dr Halimah Ali di PRK Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan itu sebelum ini masing-masing dimenangi oleh Ng daripada DAP (Balakong) dengan majoriti 35,538 dan Dr Shaharuddin daripada PKR (Seri Setia) dengan majoriti 19,372 undi. -Bernama

Tags / Kata Kunci: PRK , Balakong , Seri Setia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan