Kes Guan Eng: Peguam minta SPRM siasat Tommy Thomas - Berita Semasa | mStar

Kes Guan Eng: Peguam minta SPRM siasat Tommy Thomas

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2018 7:13 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang peguam Datuk Abu Backer Sidek membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Peguam Negara Tommy Thomas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atas pertuduhan rasuah.

Katanya, beliau percaya Thomas adalah individu bertanggungjawab "merestui" Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan SPRM Mohd Masri Daud untuk memohon kepada mahkamah supaya pertuduhan ke atas Lim digugurkan.

Menurut undang-undang Peguam Negara boleh mendakwa dan menggugurkan pendakwaan kes.

Abu Backer antara individu yang membuat laporan kepada SPRM berhubung kes Lim itu sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita ketika hadir membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM, di sini Selasa, Abu Backer turut mendesak SPRM supaya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu supaya kes itu dibuka semula.

Mahkamah itu pada Isnin membebaskan Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan dan memohon perintah supaya kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: SPRM , Lim Guan Eng
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan