Nurul Izzah gesa Peguam Negara perjelas kes rasuah Guan Eng - Berita Semasa | mStar

Nurul Izzah gesa Peguam Negara perjelas kes rasuah Guan Eng

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2018 7:43 AM

Nurul Izzah Anwar.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa Pejabat Peguam Negara tampil memberikan penjelasan berhubung pengguguran pendakwaan terhadap kes rasuah dalam pembelian banglo di bawah harga pasaran melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau turut mengulangi pendirian sama seperti 2013, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa membuat pendakwaan.

Nurul Izzah berkata demikian sebagai menjawab komen pengguna Twitter, Shahidil yang memuat naik kenyataan beliau ketika pertemuan tertutup pemimpin PKR dan SPRM di Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah lima tahun lalu.

Kenyataan Nurul Izzah itu menyebut SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan kerana Peguam negara yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut terbukti gagal melaksanakan dengan adil.

"Terima kasih kerana mengingatkan. Saya mengulangi pendirian yang sama hari ini. Kita mahukan dan perlukan reformasi sistem," jawab Nurul Izzah.

Pada 21 Ogos 2013, Nurul Izzah berkata dalam usaha mencegah rasuah di negara ini, PKR menyokong SPRM diberi kuasa pendakwaan.  

Katanya, SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan kerana Peguam negara yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut terbukti gagal melaksanakan dengan adil.

Jelas, sudah banyak kes sebelum ini yang sudah disiasat oleh SPRM tetapi hingga kini tidak dibuat pendakwaan dan butiran siasatan sangat kabur serta tidak diketahui umum.

Tambahnya lagi, dalam bersama SPRM, antara perkara yang turut dibincangkan adalah cadangan SPRM untuk meminda Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar setiap menteri dan ahli keluarga mereka yang mendapat habuan atau projek kerajaan boleh diambil tindakan. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Lim Guan Eng , SPRM , Nurul Izzah , Peguam Negara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan