Kereta CH-R menanti abah! - Berita Semasa | mStar

Kereta CH-R menanti abah!

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2018 3:18 PM

Kereta Toyota CH-R yang akan dibawa pulang pelanggan bertuah pada Mac tahun depan. foto The Star/LOW LAY PHON

(Ubah saiz teks)

SYURGA di bawah telapak kaki ibu, kasih ibu bawa ke syurga dan kasih bapa kekal selamanya. Ungkapan itu menunjukkan betapa dua insan ini diletakkan pada kedudukan yang mulia di sisi Islam.

Namun berapa ramai anak yang sanggup mengorbankan kehendak diri sendiri demi membahagiakan insan tercinta ini?

Menyedari situasi itu, KUA Marketing, sebuah perkongsian strategik antara 25 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berganding bahu tampil dengan kempen 'Kereta Untuk Abah' (KUA) bagi mendidik orang ramai supaya menghargai ibu bapa mereka, salah satunya dengan cara menghadiahkan sebuah kereta.

Kempen tersebut yang berlangsung selama enam bulan sudah pun bermula 1 September lalu.

Presidennya, Mohd Aminurasyid Mohd Fauzi berkata, idea untuk mengadakan kempen itu tercetus selepas melihat kejayaan usahawan PKS di Sabah dalam mengendalikan kempen serupa tahun lalu.

"Kempen KUA ini tercetus selepas melihat kempen 'Aku Punya Bah' cetusan idea rakan usahawan kami di Sabah mendapat sambutan menggalakkan.

"Kejayaan itu membuatkan kami terpanggil untuk mengadakan kempen yang sama seiring dengan matlamat kami untuk memberi kesedaran kepada anak muda supaya berbakti kepada kedua ibu bapa mereka," katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis pelancaran kempen itu di sini baru-baru ini.

Mohd Aminurasyid Mohd Fauzi.

Mohd Aminurasyid berkata kempen KUA yang julung kali diadakan ini menawarkan kereta Toyota C-HR berharga RM148,000 sebagai hadiah utama.

Selain itu katanya, peserta bertuah juga berpeluang memenangi hadiah sagu hati berupa sebuah motosikal, televisyen pintar, telefon pintar Oppo F7 serta percutian tiga hari dua malam.

Bukan itu sahaja, Mohd Aminurasyid berkata, enam pemenang bulanan bertuah akan dipilih untuk memenangi barangan kemas manakala empat pemenang lain bakal menerima hadiah misteri.

"Kami akan mengumumkan 50 nama yang disenarai pendek sebagai pemenang hadiah utama yang akan diumumkan pada Mac tahun depan.

"Mereka akan dijemput hadir ke acara kemuncak sebelum cabutan bertuah diadakan bagi menentukan pemenang kategori tersebut.

"Bagi hadiah bulanan pula, pemenang akan dipilih secara rawak dan keputusannya diumumkan secara live di Facebook dan Instagram Kereta Untuk Abah," katanya.

Antara usahawan 25 syarikat PKS yang terlibat dalam kempen tersebut. - foto The Star/Low Lay Phon.

Mengenai syarat penyertaan, Mohd Aminurasyid berkata ia terbuka kepada orang ramai dengan syarat mereka perlu membeli produk yang ditawarkan 25 syarikat PKS yang terlibat dalam kempen tersebut.

25 syarikat PKS yang terlibat itu mempunyai latarbelakang dalam industri kecantikan, fesyen, makanan dan gajet.

"Dengan setiap pembelian minimum daripada 25 syarikat PKS terlibat, pelanggan akan diberikan sekeping kupon. Mereka perlu mengisi butiran yang diperlukan di kupon dan sertakan bersama dengan resit pembelian.

"Peserta kemudian perlu mengembalikan kupon itu ke syarikat jenama produk yang dibeli sebelum kupon tersebut dihantar kepada sekretariat yang akan memilih pemenang secara rawak," katanya.

Tambah Mohd Aminurasyid, KUA Marketing menyasarkan untuk mendapat kira-kira 150,000 penyertaan daripada orang ramai sepanjang tempoh enam bulan kempen itu berlangsung.

"Kami yakin angka itu dapat dicapai berdasarkan jumlah pelanggan yang dimiliki 25 syarikat terlibat," katanya.

Kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama Toyota Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Kereta Untuk Abah , Toyota Malaysia , PKS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan