1MDB: Sulaiman ketuai pendakwaan perbicaraan Najib - Berita Semasa | mStar

1MDB: Sulaiman ketuai pendakwaan perbicaraan Najib

Diterbitkan: Jumaat, 31 Ogos 2018 8:13 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka Datuk Sulaiman Abdullah dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula 12 Feb 2019, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Thomas juga mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, yang juga seorang peguam terkenal sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengendalikan keseluruhan proses pendakwaan berhubung urusan 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

"Dengan pelantikan dua individu terkemuka dalam Majlis Peguam ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia dengan amat serius dan  sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia, sesungguhnya memang tidak boleh diragukan lagi,” katanya.

Thomas berkata Sulaiman merupakan salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuklah jenayah kolar putih.

”Kemahirannya tiada tolok bandingnya, dan kebijaksanaannya tiada saingannya. Datuk Sulaiman berintegrti tinggi, dan sesungguhnya merupakan seorang peguam yang berperinsip. Datuk Sulaiman telah bermurah hati bersetuju melepaskan kesemua yuran guaman dan berbesar hati untuk memberikan khidmat bakti beliau atas dasar ‘pro bono'.

Thomas berkata selepas berkhidmat selama hampir tiga bulan dan mengalami sendiri tuntutan tugas sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beserta dengan tuntutan-tuntutan yang pelbagai dan berbilang selaku pegawai undang-undang utama dalam pentadbiran yang semakin berubah, beliau sedar beliau tidak boleh mengabungkan kesemua komitmen yang berat ini dan dalam masa yang sama membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan Najib selama tujuh minggu yang ditetapkan 12 Feb 2019 dan berakhir 29 Mac 2019.

Menurutnya, perbicaraan yang penting dan rumit seperti ini memerlukan perhatian sepenuhnya masa dari kaunsel utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan, seterusnya diikuti dengan penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan.

“Malangnya, tuntutan perkara-perkara yang segera dan mendesak ini tidak memberikan masa yang mencukupi untuk saya menumpukan sepenuhnya perhatian ke atas pendakwaan ini. Oleh itu dengan menggunakan budi bicara saya di bawah Seksyen 379 Kanun Tatacara jenayah (KTJ) saya telah melantik Datuk Haji Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pihak pendakwaan dalam PP lawan Najib Razak,” katanya.

Mengenai perkara 1MDB, Thomas berkata sememangnya diketahui umum bahawa Kertas-Kertas Siasatan (IP) berhubung pelbagai penipuan berkaitan hal-hal 1MDB masih belum dikemukakan kepada Jabatan ini oleh SPRM dan pihak polis, kecuali satu IP berkatian Jho Low, yang telah membawa kepada pendakwaan dan pengeluaran waran tangkap terhadapnya dan bapanya minggu lepas.

Katanya, selepas IP diterima daripada agensi-agensi siasatan, jabatan ini perlu mengkajinya, menyediakan kertas-kertas dakwaan dan mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan.

“Untuk menerajui keseluruhan proses ini, sukacita saya mengumumkan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya di bawah Skesyen 376(3) KTJ.

"Datuk Seri Ram mantan Hakim Mahkamah Persekutuan telah kembali aktif mengamalkan bidang kepeguaman.Beliau berpengalaman luas dalam hal-hal perundangan jenayah.

"Tidak diragui personaliti dan azam beliau yang kuat akan mempertingkatkan lagi siasatan dan pendakwaan dalam kesemua hal berhubung dengan skandal 1MDB. Datuk Seri Ram juga telah melepaskan yuran guamannya dan akan bertindak atas dasar ‘pro bono', katanya.

Thomas dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun, telah membuat penampilan pertamanya di mahkamah pada 4 Julai untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam kes Najib yang telah didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Ketika Najib didakwa buat kali kedua pada 8 Ogos atas tiga tuduhan pengubahan wang haram, pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang merupakan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.

Kes Najib telah ditetapkan pada 4 Oktober untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.- Bernama

Tags / Kata Kunci: IMDB , Najib
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan