Maaf tak boleh basuh maruah saya yang dah hancur berkecai - Vida - Berita Semasa | mStar

Maaf tak boleh basuh maruah saya yang dah hancur berkecai - Vida

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2018 12:39 PM

Aishah (kiri) dan Datuk Seri Vida.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman enggan tunduk dengan desakan juara Gegar Vaganza musim 4 (GV4), Aishah yang mahu beliau memohon maaf kerana didakwa menipu dalam pemberian barang kemas bertatahkan batu permata.

"Saya tak akan sesekali mohon maaf. Maaf bukan boleh membasuh maruah saya yang sudah tercalar. Perkataan maaf walaupun senang diungkapkan tapi reputasi saya jatuh hancur berkecai.

"Adakah dengan memohon maaf itu boleh menggembalikan kepercayaan orang ramai? Saya berbesar hati nak bagi hadiah kalung itu tapi akhirnya kebaikan saya itu memakan diri.

"Ia ibarat mahu berjasa tapi nyawa hilang. Kalau ikutkan pemberian ikhlas saya itu tidak sepatutnya dijadikan isu sebenarnya," katanya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan sudah diaudit, Vida tiada kuasa tarik kemenangan Aishah - Astro

ARTIKEL BERKAITAN: Bank Negara masukkan LaVida Coin dalam senarai waspada

Pada masa sama, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) berkata, sekiranya permohonan maaf dibuat, tindakan itu tidak akan menghentikan tohmahan netizen terhadap dirinya.

"Gara-gara kalung itu satu Malaysia kutuk saya. Bukan (permohonan) maaf itu satu benda yang boleh mengubah keadaan dan kekeruhan yang berlaku," katanya.

Vida sekali lagi menegaskan bahawa rantai emas putih bertatahkan batu permata itu bukan palsu.

"Itu barang kemas tulen. Saya tak tahu kalau ia palsu seperti didakwa Aishah, bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

"Namun saya berserah kepada Allah dan anggap kontroversi ini sebagai satu hikmah yang diberikan kepada saya," katanya.

Usahawan kelahiran Machang, Kelantan itu juga mahu pihak Astro mengaturkan pertemuan antara dirinya dan juga Aishah bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

"Sebenarnya saya nak Astro temukan saya dengan Aishah kerana saya ingin jelaskan hadiah ini ikut suka hati saya nak bagi.

"Saya bukan ada kedai jual berlian, saya jual emas. Patut dulu saya bagi bagi emas promote produk saya. Tapi saya berbesar hati beri rantai tersebut dan tak sangka begini pula jadinya," kata Vida.

Terdahulu Aishah mendedahkan satu kenyataan laporan penyelidikan rasmi berhubung rantai tersebut.

Malah penyanyi Janji Manis Mu itu turut menegur Vida supaya tidak memperlakukan golongan artis seumpama itu.

"Bacalah report ini baik-baik DSV, saya keluarkan ini bukan nak aibkan awak, cuma saya minta janganlah buat kami golongan artis begini.

"Ya mungkin Allah bagi awak jadi kaya raya tapi itu tak membenarkan awak menipu kami. Saya tak nak apa-apa daripada awak sekadar mohon maaf di atas penipuan ini.

"Simpanlah Lavida coin awak tu. Jangan ingat orang yang tak kaya macam awak tak ada maruah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Datuk Seri Vida , Aishah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan