Pagi sekolah, kerja pula sampai malam, tiba-tiba pelajar ini buat keputusan drastik demi ibu - Berita Semasa | mStar

Pagi sekolah, kerja pula sampai malam, tiba-tiba pelajar ini buat keputusan drastik demi ibu

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2018 8:11 AM

Dua beradik di pusara ibu mereka yang meninggal dunia akibat kanser. Foto Instagram aazmiamy

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kisah seorang remaja yang hidup sebatang kara selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser pada 10 Ogos lalu begitu menyayat hati, namun kasih sayangnya terhadap insan tersayang itu wajar jadi teladan.

Di sebalik kisah sedih yang mula tular sejak Sabtu lalu, remaja berkenaan mengorbankan waktunya sebagai pelajar dengan bekerja separuh masa demi menampung perbelanjaan harian.

"Murid ni nama Haiqal, tingkatan empat. Mak ayah berpisah 13 tahun lepas. Jumaat lepas mak dia meninggal sebab sakit kanser. Sejak mak sakit, dia dengan abang dia kerja untuk sara hidup dan bayar sewa rumah RM850 sebulan," menurut status yang dikongsikan seorang guru, Siti Norhana di laman sosial Facebook, Jumaat lalu.

Bercakap kepada mStar Online, pelajar berkenaan, Mohammad Haiqal Abdullah, 16, berkata, pada awalnya hanya dia bersama arwah ibu yang lebih mesra dengan panggilan 'Mami' tinggal di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, sebelum dipertemukan dengan abangnya yang terpisah lebih sedekad lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan Indah di Ampang, Selangor itu memberitahu, dia bersama ibu mendapat sumbangan ihsan menerusi bantuan jiran-jiran terutama selepas ibunya menerima rawatan penyakit kanser usus di hospital sejak awal tahun.

"Saya kemudian memutuskan untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan kami. Mami tahu saya bekerja, dia tidak melarang. Sebelum ini pun saya pernah bekerja secara sambilan dengan orang lain, tak banyak tapi dapatlah duit sikit.

"Mami cuma berpesan supaya saya bijak membahagikan masa antara kerja dan pelajaran. Berkali-kali arwah pesan jangan abaikan pelajaran," katanya.

Semasa arwah ibu Mohammad Haiqal dan Mohammad Azmi dirawat di hospital. Foto ihsan Mohammad Azmi Abdullah

Mohammad Haiqal bekerja separuh masa sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara dengan gaji antara RM500 sehingga RM600 sebulan.

Sebaik sesi persekolahan tamat pada kira-kira pukul 1 petang, remaja ini akan membuat persiapan untuk bekerja pula dari pukul 3 petang sehingga 10 malam.

Hanya bekerja selama lebih sebulan, dia kemudian mengambil tindakan drastik untuk berhenti bagi memberi tumpuan kepada pelajaran dan ibunya yang sakit.

"Sebelum ini, saya melawat Mami pada hari cuti, sebab bila pagi saya bersekolah, petang pula masuk kerja sampai malam, jadi waktu saya bersama Mami terhad.

"Jadi, saya ambil keputusan sendiri untuk berhenti kerja supaya dapat temankan Mami sampai ke malam, saya jaga dia, lapkan muka dan badan dia, tukar lampin dan suapkan dia makan. Saya buat selagi apa yang boleh," katanya mengenai arwah ibunya yang dirawat akibat kanser dan kali terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Antara gambar kenangan dua beradik ini bersama arwah ibu. Foto ihsan Mohammad Azmi Abdullah

Keputusan untuk berhenti kerja bagaimanapun tidak dimaklumkan kepada ibunya kerana tidak mahu menganggu emosi insan yang dikasihinya itu, terutama selepas mendapat berita ibunya menghidap kanser  tahap empat pada Mei lalu.

"Ketika itu, apa yang penting adalah Mami memerlukan sokongan moral terutama saya sebagai anaknya. Saya perlu ada bagi Mami kuat, jangan biarkan dia rasa sedih.

"Bila Mami makin tenat, Mami beritahu yang saya sebenarnya ada adik-beradik lain. Ada dua abang, masing-masing terpisah bersama keluarga angkat," katanya sambil menambah dengan bantuan jiran yang berkongsikan pencarian itu di Facebook, dia dipertemukan dengan salah seorang abangnya, Mohammad Azmi, 17, akhir Jun lalu.

Dua beradik dipertemukan kembali selepas terpisah lebih sedekad. Foto ihsan Mohammad Azmi Abdullah

Sejak kisahnya mula tular Sabtu lalu, Mohammad Haiqal dihujani banyak panggilan dan mesej daripada organisasi dan orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan, termasuk bantuan membayar sewa bulanan rumahnya sehingga akhir tahun.

"Syukur, alhamdulillah. Saya terharu lebih-lebih lagi membayangkan antara yang memberi sumbangan itu juga bukan daripada orang yang senang.

"Jasa kalian memberi semangat kepada saya. Arwah Mami berpesan supaya saya kuat meneruskan kehidupan dan sentiasa bersyukur," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohammad Haiqal boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 164388897312 atas nama Haikal b. Abdullah.

Tags / Kata Kunci: Haiqal , kanser , HKL , Pandan Perdana
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan