ECRL, TSGP dibatalkan - PM - Berita Semasa | mStar

ECRL, TSGP dibatalkan - PM

Diterbitkan: Selasa, 21 Ogos 2018 3:59 PM

(Ubah saiz teks)

BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Perdana menteri berkata Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China itu.

"Saya telah menjelaskan kepada mereka, dan mereka memahami kedudukan dan menerimanya,” kata Dr Mahathir kepada wartawan pada akhir lawatan rasmi lima harinya ke China.

“Pada peringkat awal, berlaku salah faham, namun kini mereka faham mengapa kita lakukannya (batal). Saya tidak fikir China mahu kita muflis,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar, dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara dengan jumlah hjutang yang tinggi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Projek tidak diteruskan. Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini ia ditangguhkan sehingga kita mampu,” kata perdana menteri, namun apabila wartawan meminta penjelasan lanjut, berkata : “Ya ia (projek) dibatalkan buat masa ini.”

ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, yang dilancarkan tahun lepas, dijadual siap pada 2024, manakala TSGP yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion.

Perlaksanaan kedua-dua projek itu digantung sejak Julai lepas.
Dr Mahathir sebelum ini berkata syarat sedia ada projek yang dijalankan oleh kerajaan terdahulu tidak baik, antara lain, wang dibayar tanpa mengira kemajuan pembinaan.

Pentadbiran kerajaan baharu turut mengesan syarat kontrak yang diberikan kepada syarikat China, termasuk mengimport bahan dan pekerja dari China, sekali gus rakyat Malaysia tidak memperoleh manfaatnya.

Dr Mahathir mengecam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebodohannya melaksanakan projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada negara, bahkan membebankan kerajaan sekarang dengan hutang yang besar.

“Rombongan yang datang juga bertujuan untuk mencari penyelesaian hutang Najib masa dia jadi PM. Hutang berbilion ringgit untuk projek yang tidak bermanfaat kepada negara,” kata Dr Mahathir.

“Kita perlu membayar atas kebodohan Najib…sangat bodoh…menjejaskan kepentingan kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata tidak ada lagi perjanjian projek yang menjejaskan kepentingan Malaysia dibenarkan pada masa depan.

Ditanya mengenai pampasan yang perlu dibayar ekoran pembatalan projek-projek berkenaan, beliau berkata perkara itu akan dibincankan kemudian. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: ECRL , paip gas , Sabah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan