Tun Abdullah digugurkan sebagai penasihat Petronas? - Berita Semasa | mStar

Tun Abdullah digugurkan sebagai penasihat Petronas?

Diterbitkan: Isnin, 20 Ogos 2018 6:01 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dijangka digugurkan sebagai penasihat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) tidak lama lagi, lapor The Malaysian Reserve.

Ia memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual bahawa kerajaan telah mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kepada Abdullah.

"Beliau diberi notis bahawa tempohnya dalam proses penstrukturan semula. Beliau akan digugurkan," kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Reserve.

Abdullah yang dilantik menggalas tanggungjawab itu pada April 2016 akan dipecat daripada jawatannya semasa proses penstrukturan semula Petronas akan datang.

Dr Mahathir berkata tiada keperluan untuk memiliki penasihat di Petronas kerana syarikat itu menunjukkan prestasi baik dan pencapaiannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Petronas sebenarnya dinilai oleh para pelabur sebagai syarikat yang dikendalikan dengan baik.

"Ini kerana orang di sana baik, kita tidak melihat sebagai tanda-tanda mencuri wang dan semua itu.

"Mereka membayar gaji yang lebih baik tapi secara keseluruhan, prestasi mereka diiktiraf pasaran sebagai syarikat yang dikendalikan dengan baik. Itulah sebabnya ia adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang ada dalam senarai Fortune 500," katanya.

Tags / Kata Kunci: Tun Abdullah , Petronas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan