Proton bakal rancakkan pasaran kereta terbesar dunia melalui kerjasama dengan Geely - Berita Semasa | mStar

Proton bakal rancakkan pasaran kereta terbesar dunia melalui kerjasama dengan Geely

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2018 9:31 AM

Dr Mahathir menyaksikan acara menandatangani perjanjian antara Syed Faisal (kedua, kiri) dan Presiden Geely Holding Group An Conghui (kedua, kanan) di ibu pejabat Geely di Hangzhou, China. - Bernama

(Ubah saiz teks)

HANGZHOU: Proton Holdings Bhd memasuki pasaran kereta terbesar di dunia selepas menandatangani perjanjian untuk menubuhkan loji pembuatan kereta di China.

Kemudahan itu akan menjadi usaha sama dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely), di mana kedua-dua syarikat mengambil ekuiti yang sama.

Ia termasuk menubuhkan kemudahan pengeluaran untuk Proton memasang dan memasarkan kereta di China.

"Portfolio kereta untuk China akan datang dari platform Geely sedia ada, tetapi reka bentuk luaran kenderaan akan dilakukan oleh Proton.

"Perjanjian itu juga menyediakan platform Proton sedia ada yang didapati sesuai untuk dibangunkan sebagai model bagi pasaran China," kata Pengerusi Proton Holdings Datuk Seri Syed Faisal Albar semasa menandatangani perjanjian itu di ibu pejabat Geely di sini pada Sabtu.

Acara itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berkunjung ke China selama lima hari.

Kedua-dua pihak mensasarkan untuk menggabungkan usaha sama dalam tempoh dua suku pertama tahun depan.

Syed Faisal berkata kemasukan Geely sebagai rakan strategik kepada Proton telah membuka jalan mudah untuk kemasukan kereta kebangsaan negara ke pasaran China yang menguntungkan.

Dr Mahathir berkata, beliau melihat peningkatan yang besar dalam kereta Geely daripada segi kualiti dan produktiviti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Apabila Proton mula-mula dihasilkan, Geely belum ada lagi. Kita menghantar enam kereta Proton ke China dan sangat berbangga dengan pencapaian itu," kata Perdana Menteri.

"Tetapi seperti yang anda ketahui, Geely kini mengatasi kita. Saya fikir, bekerjasama dengan Geely akan memberi manfaat dan mempercepatkan proses membawa peningkatan kepada kereta Proton," kata beliau.

Dr Mahathir mengakui bahawa Proton telah cuba masuk ke pasaran China sejak beberapa tahun lalu.

Tags / Kata Kunci: Proton , Geely
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan