1 juta rakyat Malaysia ke Korea Selatan, segmen makanan halal akan diperkukuhkan - Berita Semasa | mStar

1 juta rakyat Malaysia ke Korea Selatan, segmen makanan halal akan diperkukuhkan

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2018 12:22 PM

Gambar oleh Reuters.

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Menerima kunjungan hampir satu juta pelancong Muslim ke Korea Selatan tahun lepas, Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) kini mengambil langkah untuk perkukuhkan lagi segmen makanan halalnya serta aktiviti promosi termasuk di Malaysia.

Timbalan Pengarah KTO bagi Asia Tenggara dan Timur Tengah Park Jinho berkata mereka telah mengambil pelbagai langkah untuk menerokai pelancongan Muslim, termasuk daripada Malaysia dan Indonesia yang merupakan antara pelancong Muslim terbanyak yang berkunjung ke negara yang terkenal dengan budaya K-Pop itu.

Beliau berkata pada 2017, kira-kira 990,000 pelancong Muslim berkunjung ke Korea, manakala kira-kira 60 peratus daripada 200,000 pelawat daripada Malaysia adalah Muslim.

Bercakap kepada Bernama News Channel pada Festival Makanan Halal yang diadakan bersempena Ekspo Perdagangan Halal 2018 di Seoul baru-baru ini, Park berkata pasaran Muslim bagi sektor pelancongan telah mencatatkan peningkatan ketara, menyumbang kira-kira  6.5 peratus bagi kemasukan pelawat dalam industri pelancongan Korea.

Katanya KTO menyasarkan lebih 200,000 pelancong Muslim Malaysia akan melawat Korea pada tahun ini.

Antara langkah yang sedang diambil ialah menambah jumlah restoran mesra Muslim kepada 250 buah pada tahun ini daripada 237 yang direkodkan pada 2017.

Hangang Park di Seoul. - Bloomberg

Menurut Park, klasifikasi status restoran mesra Muslim telah bermula sejak 2016.

“Kami faham betapa pentingnya makanan halal bagi orang Muslim dan kami juga sedar orang Muslim amat berhati-hati dengan apa yang mereka makan," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu KTO bekerjasama dengan pemain industri untuk menambah baik infrastruktur termasuk menyediakan restoran makanan halal di negara ini.

Park berkata KTO telah mengkategorikan restoran mesra Muslim kepada empat jenis iaitu Sijil Halal, Sijil Sendiri, Mesra Muslim dan Bebas Khinzir.

Berhubung Sijil Halal, beliau berkata restoran di bawah kategori itu disahkan halal oleh agensi persijilan halal bertauliah seperti Persekutuan Muslim Korea (KMF), manakala Sijil Sendiri merujuk kepada restoran yang disahkan halal oleh pemilik restoran Muslim.

Restoran mesra Muslim adalah restoran yang menjual makanan halal tetapi turut menawarkan alkohol  manakala kategori restoran bebas khinzir pula tidak menawarkan menu halal tetapi pada masa sama tidak menggunakan daging khinzir di dalam bahan masakan mereka dan turut menjual alkohol. - Bernama

Tags / Kata Kunci: KTO
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan