Mujur ada treler, kalau tak nyawa wanita ini dan rakannya melayang - Berita Semasa | mStar

Mujur ada treler, kalau tak nyawa wanita ini dan rakannya melayang

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2018 3:12 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kalau bukan kerana sebuah treler yang berada di hadapannya, nyawa pegawai perhubungan awam ini mungkin melayang dalam kejadian bas henti-henti milik RapidKL yang merempuh beberapa kenderaan di Jalan Ampang pada Khamis malam.

Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik (gambar) menceritakan detik mendebarkan yang dialaminya bersama seorang lagi rakan, Manicka Raj, 36, ketika mahu keluar dari sebuah simpang menuju ke Pandan Indah.

"Pada awalnya saya ingin memintas sebuah kenderaan di belakang treler tersebut yang ketika itu berhenti di depan lampu isyarat, tetapi tak jadi teruskan niat itu.

"Dalam tempoh beberapa saat sahaja, saya nampak ada bas RapidKL yang sangat laju dan merempuh sebuah MyVi hitam dan beberapa lagi kereta di laluan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bas rempuh kenderaan ibarat filem aksi, bayi dua bulan terpelanting

Che Wan Sofiatul Shima berkata, sebelum kejadian, dia dan rakannya singgah makan di Suzi's Corner yang terletak di persimpangan Jalan Ampang beberapa jam sebelum insiden tersebut berlaku.

Tambah wanita berusia 39 tahun itu, selepas kejadian tersebut, dia masih berasa trauma setiap kali melihat bas RapidKL di jalan raya.

"Badan kami menggeletar dan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku kerana insiden itu berlaku betul-betul depan mata kami. Kalau nampak bas RapidKL, masih ada rasa takut tu.

"Saya amat bersyukur kerana kami tidak terlibat dalam kemalangan itu dan mungkin ada hikmahnya treler tersebut berada di situ," ujarnya.

Gambar insiden yang diperoleh oleh Che Wan Sofiatul Shima daripada kumpulan Whatsapp.

Menurut Che Wan Sofiatul Shima, dia bagaimanapun tidak berhenti untuk melihat situasi yang berlaku dan meneruskan perjalanannya kerana enggan mengganggu lalu lintas.

Terdahulu, media melaporkan terdapat sebuah bas dipandu laju merempuh beberapa kenderaan di depan bangunan Risda, Jalan Ampang dan berakhir di simpang Jalan Ampang / Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada Khamis malam.

Insiden mendebarkan yang berlaku kira-kira pukul 8.20 malam itu diibaratkan seperti babak filem aksi.

Kejadian itu tular menerusi video berdurasi 1.39 minit yang tersebar di laman media sosial sejak jam 10 malam.

Pemandu bas berkenaan sebelum itu dikatakan merempuh sebuah kereta menyebabkan ia terbabas dan melanggar sebuah gerai burger.

Tags / Kata Kunci: bas rempuh , RapidKL
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan