100 hari: Kos sara hidup rakyat tetap sama - Berita Semasa | mStar

100 hari: Kos sara hidup rakyat tetap sama

Diterbitkan: Jumaat, 17 Ogos 2018 10:58 AM

(Ubah saiz teks)

TANGGAL 9 Mei 2018 menjadi satu sejarah kepada Malaysia apabila kerajaan BN yang mentadbir selama 60 tahun ditumbangkan Pakatan Harapan (PH).

Dalam PRU14, Manifesto PH menjadi salah satu kepada punca kemenangan dan hari ini mata rakyat negara ini tertumpu kepada pelaksanaan manifesto mereka terutama 10 Janji 100 hari PH.

Kota beberapa janji

Sebaik mengambil alih, PH menunaikan dua janji awal dengan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan mengekalkan harga petrol.

Sebelum Rang Undang-undang Pemansuhan GST diluluskan Dewan Rakyat pada 8 Ogos, kerajaan mengenakan GST pada kadar sifar peratus selain memberi tempoh tiga bulan tanpa cukai kepada rakyat sebelum melaksanakan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) September ini.

Begitu juga dengan inisiatif kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 pada harga RM2.20, RON97 RM2.65 dan diesel RM2.18 berbanding penetapan secara mingguan.

Kerajaan turut membatalkan senarai hitam Jabatan Imigresen terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kementerian Pendidikan membenarkan peminjam yang bergaji bawah RM4,000 sebulan menangguhkan bayaran dengan syarat mereka perlu mengemaskini maklumat pendapatan.

Golongan wanita juga bakal menikmati manfaat menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dengan kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama Program Sukarela Insentif Suri (Suri).

Seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima insentif ini yang dilaksanakan dalam tiga fasa yang menyasarkan suri rumah, Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang.

Fasa pertama bermula 15 Ogos ini menyaksikan kerajaan menyumbang RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP manakala bagi fasa kedua, yang dijangka bermula tahun depan, kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada RM50 dengan RM10 daripadanya disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Fasa ketiga Suri, yang dijangka pada awal 2020, pula melibatkan 2 peratus sumbangan KWSP suami dimasukkan ke akaun isteri.

Berdasarkan janji 100 hari PH, mereka turut menyenaraikan untuk menyiasat skandal negara dan pada 4 Julai lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan antara 24 dan 29 Disember 2014.

Kos sara hidup belum selesai

Walaupun kerajaan berjaya menunaikan janji mereka namun isu kos sara hidup dan harga barang masih tidak dapat diatasi.

Mengambil contoh GST, walaupun kerajaan telah memansuhkan GST namun harga barang masih tidak turun.

Umum mengetahui GST ini satu mekanisme kutipan cukai lebih cekap berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan kutipan mencecah RM41 bilion pada 2016.

Namun kerana kelemahan kerajaan dari segi penguatkuasaan kawalan harga, maka peniaga mengambil peluang menaikkan harga barang menyebabkan pengguna terpaksa menanggung peningkatan harga tersebut.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Saizol Ismail menyatakan SST mempunyai impak berganda namun pengguna tidak nampak kerana ia tidak dicatatkan dalam resit kerana hanya melibatkan pengeluar dengan ‘orang kedua’.

Secara zahirnya kerajaan hari ini mengotakan janji dalam manifesto mereka untuk menghapuskan GST, tetapi kesannya pasti ada kepada rakyat dari sudut perbelanjaan harian dan kos sara hidup.

10 janji 100 hari PH tidak realistik

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berpendapat, 10 janji 100 hari PH dianggap sebagai satu janji populis dan tidak praktikal.

Ini kerana kebanyakan janji yang dibuat PH gagal dilaksanakan secara menyeluruh dan dilihat memakan diri.

"PH gagal menunaikan apa yang dijanjikan. Walaupun ada janji yang telah dilaksanakan seperti pemansuhan GST (letak pada kadar sifar peratus) dan caruman KWSP kepada suri rumah, namun ia tidak dilakukan seperti yang dinyatakan.

"Ambil contoh GST yang selama ini dikatakan menjadi antara faktor peningkatan harga barang, sebenarnya harga barang tidak turun seperti yang diharapkan. Ini kerana tren peningkatan harga barang ini berlaku sejak 2010 lagi dan sepatutnya menteri berkaitan mengambil tindakan mengawal rantaian harga ini daripada mengambil kesempatan," katanya.

Menurutnya, manifesto tersebut menjadi salah satu punca kepada kemenangan PH pada PRU14.

"Selain daripada penolakan terhadap kerajaan terdahulu kerana terpalit dengan pelbagai skandal, pengundi-pengundi muda khususnya mereka memberi undi kepada PH kerana tertarik dengan jani seperti peluang pekerjaan, penangguhan PTPTN dan meringankan kos sara hidup kumpulan tersebut," katanya.

Teruskan jaga kebajikan rakyat

Walaupun melepasi 100 hari dan pelbagai janji masih belum dapat ditunaikan, ia bukan bermakna kerajaan perlu berhenti daripada berusaha melunaskan apa yang telah dijanjikan.

Jika bukan sama seperti 100 peratus yang dijanjikan, mereka boleh melaksanakan dengan keputusan lain demi kebajikan rakyat.

Sebagai contoh pemansuhan semua tol, kerajaan boleh mengkaji semula dengan memansuhkan beberapa tol di negara ini, begitu juga dengan sistem kutipan cukai GST masih boleh diteruskan tetapi mengenakan pada kadar lebih rendah daripada sebelum ini.

Selain itu, kerajaan perlu menetapkan hala tuju mereka termasuklah meneliti dan meneruskan dasar kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beberapa janji telah dikotakan dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, justeru diharapkan ia dapat dilaksanakan dengan segera.

Meskipun ramai beranggapan PH gagal menunaikan janji 100 hari, kepentingan rakyat dan kemajuan ekonomi negara perlu diteruskan sebagai penanda aras kepada kesungguhan sesebuah kerajaan itu.

Jika keputusan kurang populis terpaksa dibuat demi kebaikan negara dan rakyat, ia perlu dilakukan walaupun wujud kritikan. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: 100 Hari , Pakatan Harapan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan