PAS umum Halimah sebagai calon PRK Sri Setia - Berita Semasa | mStar

PAS umum Halimah sebagai calon PRK Sri Setia

Diterbitkan: Khamis, 16 Ogos 2018 7:45 AM

Halimah menerima watikah pencalonan daripada Abdul Hadi dalam majlis berkenaan. Foto-Sinar Harian

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pas menamakan bekas Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali sebagai calon bagi PRK Seri Setia yang akan berlangsung pada 8 September ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis yang berlangsung di Padang Permainan Desa Mentari, Rabu.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan berapa pimpinan lain di peringkat negeri dan pusat.

Di samping itu, terdapat juga beberapa pimpinan Umno yang turut hadir sebagai tanda sokongan kepada Pas.

Antaranya ialah Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim.

Kerusi Dun Seri Setia kosong susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu di Hospital Putrajaya akibat penyakit kanser usus.

Ketika berucap, Halimah memaklumkan bahawa pihaknya memanjatkan ucapan syukur kepada Allah kerana diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti bagi membawa cabaran di Seri Setia pada kali ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan PH telah memegang pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan negeri, namun kemenangan Pas dapat memberi isyarat kepada pihak berkenaan agar tidak lalai serta mempunyai proses semak dan imbang yang baik.

"Saya memerlukan sokongan daripada semua pihak agar dapat membawa suara pembangkang selepas ini," katanya.

Halimah merupakan bekas Exco Selangor pada tahun 2008 hingga 2014 malah beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: PRK Sri Setia , Halimah Ali , PAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan