30 tahun jadi hamba dadah, kini dia pula bantu bekas penagih untuk pulih - Berita Semasa | mStar

30 tahun jadi hamba dadah, kini dia pula bantu bekas penagih untuk pulih

Diterbitkan: Khamis, 16 Ogos 2018 9:56 AM

(Ubah saiz teks)

MARANG: Seorang bapa tiga anak dikenali sebagai Amri berjaya kembali ke pangkal jalan serta membina hidup baharu bersama keluarga walaupun pernah terjebak dadah seawal usia 15 tahun.

Beliau memaklumkan pada awal perkahwinannya juga sering keluar masuk lokap dan semuanya kerana dadah tetapi tidak pernah dihantar ke mana mana pusat pemulihan atau disumbat ke penjara.

Amri berasal dari luar daerah ini, berkata, isteri dan tiga anaknya kini tinggal di Marang dan dia mula terpengaruh sehingga terjerat dadah sejak berusia 15 tahun dan berlarutan hampir 30 tahun lamanya.

“Ingatkan apabila berkahwin, saya akan berubah, tetapi tidak. Mujurlah isteri sabar dengan kerenah dan perangai saya. Walaupun dia tahu saya menagih, dia tetap layan saya dan anak-anak dengan baik.

"Sepanjang kira kira 30 tahun itu juga, isteri tetap berada di belakang memberikan sokongan. Saya insaf namun perasaan bersalah pada keluarga masih terasa hingga ke hari ini walaupun sudah pulih,” katanya.

Bagi menyakinkan masyarakat dan isterinya yang banyak berkorban, Amri berkhidmat sebagai pembimbing rakan sebaya (PRS) di AADK Marang bagi membantu membimbing bekas penagih untuk pulih.

“Semua pihak perlu memainkan peranan, saling memberi pendapat positif dan menerima maaf, bagi yang sudah berkahwin, isteri memainkan peranan amat penting serta jangan sesekali berputus asa.

“Ini kerana, setiap usaha ada bahagia di penghujungnya. Saya telah membuktikan apabila berjaya membebaskan diri dari cengkaman dadah walaupun terlibat dadah selama kira-kira 30 tahun," katanya.

Amri berkata, walaupun tidak dapat lari dari cemuhan masyarakat yang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan namun paling penting adalah usaha untuk berubah sepenuhnya dan kembali ke sisi masyarakat. - Sinar Harian.

Tags / Kata Kunci: Dadah , AADK
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan