Wanita kongsi tarikh lahir, nama dengan Malaysia - Berita Semasa | mStar

Wanita kongsi tarikh lahir, nama dengan Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2018 8:55 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Seorang wanita dari Sarawak bukan sahaja berkongsi nama malah turut berkongsi tarikh lahir negara Malaysia.

Dilahirkan di Simunjan, wanita yang diberi nama Malaysia Yap itu dilahirkan pukul 1 pagi pada 16 September 1963, hari penubuhan negara ini.

"Nenek saya minat politik, jadi dia namakan saya Malaysia bersempena dengan tarikh bersejarah itu," ujarnya ketika ditemui di kediamannya.

Dia turut mengimbau kenangan zaman kanak-kanak apabila rakannya sering mempermainkan namanya khusunya apabila negara Malaysia kalah dalam perlawanan bola sepak.

"Saya akan marah pada waktu itu bila mereka jerit 'Malaysia Kalah'.

"Namun, seiring usia, saya mula menyedari signifikan nama saya dan menerima seadanya.

"Kini saya rasa bangga dinamakan Malaysia," katanya lagi.

Sementara itu, Yap turut mengimbau kenangan sewaktu dia dijemput menghadiri pertemuan Anak-Anak Merdeka di Kuala Lumpur pada 2007.

"Ia bersempena sambutan Hari Kebangsaan. Saya sangat teruja dapat bertemu dengan individu lain yang ada perkataan Malaysia dalam nama mereka.

"Malah, saya turut berkesempatan bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada waktu itu," kata Yap sambil menunjukkan sijil penyertaannya dalam acara itu.

Bersempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, Yap berharap agar negara ini terus maju dan berjaya.

"Saya juga mahu orang seperti saya, yang dinamakan sempena nama negara, tidak akan dilupakan," tambahnya lagi.

Selain Yap, cucunya dilahirkan pada 14 September, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia.

"Dia akan meraikan sambutan kelahiran ke 10 tahun ini, kami akan raikan hari lahir sama-sama," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Malaysia Yap , Hari Malaysia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan