Tandas OKU: LGBT boleh guna jika ada kad JKM - Berita Semasa | mStar

Tandas OKU: LGBT boleh guna jika ada kad JKM

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2018 10:23 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tandas orang kurang upaya (OKU) hanya layak digunakan oleh golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sekiranya mereka mempunyai kecacatan fizikal yang telah disahkan oleh doktor.

Perkara tersebut disuarakan oleh Prof Madya Dr Zaidi Embong yang merupakan kakitangan akademik bidang fizik berstatus OKU di selatan tanah air.

Menurutnya, komuniti LGBT juga perlu mempunyai perakuan kad OKU yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Zaidi yang telah lama mengidap penyakit Muscular Dystrophy sejak pulang dari pengajian doktor falasah (PhD) dari University of Bristol, England berpendapat, hak bagi golongan OKU tidak sepatutnya di pandang rendah dan menjadi mangsa kepada keputusan tidak wajar.

"Mereka yang nak menggunakan tandas OKU termasuk golongan LGBT ini juga perlu individu yang menggunakan kerusi roda atau tongkat.

"Selain daripada kriteria yang dinyatakan, golongan LGBT tidak layak menggunakan kemudahan tandas OKU. Jika ia berlaku saya anggap ia sebagai satu pencerobohan hak," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, Fuziah menyarankan golongan transgender menggunakan tandas OKU bagi mengelakkan kebimbangan dan perasaan tidak selamat di kalangan orang awam.

Katanya, saranan itu adalah suatu langkah yang difikirkan sesuai ketika ini, kerana kerajaan turut mengambil kira keresahan dan pendapat yang telah diutarakan ramai pihak yang bimbang berkenaan isu terbabit.

Mengulas kenyataan Fuziah, beliau meminta agar sebarang kenyataan membabitkan golongan OKU dibuat dengan lebih berhemah dan tidak menyinggung perasaan.

"Sepatutnya cadangan tersebut juga perlu merujuk kepada JKM kerana tandas OKU ini digazetkan bagi golongan tertentu seperti kami.

"LGBT ada hak mereka dan OKU ada hak tersendiri. Jangan kerana kenyataan dibuat akan menimbulkan lebih banyak masalah seperti penderaan dan jenayah seksual kepada golongan OKU," katanya.

Katanya lagi, tidak ada sebuah negara mengambil pendekatan mewujudkan atau membina tandas khas kepada golongan LGBT.

"Saya bercakap ini atas dasar pengalaman saya berada di England dahulu dan tidak pernah pula ternampak atau jumpa tandas khas untuk LGBT ini," katanya. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Zaidi Embong , LGBT , OKU
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan