Kilang ais tiada lesen simpan bahan berbahaya - MBSA - Berita Semasa | mStar

Kilang ais tiada lesen simpan bahan berbahaya - MBSA

Diterbitkan: Isnin, 13 Ogos 2018 7:54 PM

Anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Selangor kelihatan keluar dari kilang selepas melakukan pemeriksaan rapi di sebuah kilang ais selepas kejadian kebocoran gas ammonia di Desa Latania Seksyen 36 Shah Alam, Isnin.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pemeriksaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap sebuah kilang ais di Seksyen 36 di sini, di mana berlaku kebocoran gas ammonia pagi tadi mendapati premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pemprosesan ais tetapi tidak mempunyai lesen atau kebenaran untuk menyimpan bahan berbahaya.

MBSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengarahkan kilang berkenaan untuk menghentikan sementara operasi bagi memudahkan pihak bomba dan penyelamat untuk meneutralkan bacaan paras ammonia di kawasan kilang tersebut.

“Untuk makluman, pihak bomba dan penyelamat sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan sedang berusaha untuk memastikan kawasan kilang dan persekitaran kawasan tidak lagi dicemari dengan gas tersebut.

“Pada masa sama, pasukan Pantas MBSA juga berada di lokasi untuk membantu pasukan bomba dan penyelamat serta Polis Diraja Malaysia bagi memantau situasi di kawasan tersebut,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pukul 5.12 pagi itu, dua pekerja kilang ais terbabit maut manakala 18 lagi cedera selepas terhidu gas ammonia yang bocor di premis berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, jumlah pekerja kilang ais yang terdedah kepada gas ammonia itu dan telah dikenalpasti adalah seramai 27 orang termasuk dua kematian.

Menurut beliau daripada jumlah itu, seramai 10 orang telah diintubasi, sembilan orang diletakkan di bawah pemantauan hospital dan enam orang telah dibenarkan pulang serta telah diberikan pendidikan kesihatan mengenai tanda-tanda keracunan gas ammonia.

Katanya, semua fasiliti kesihatan di Selangor telah dimaklumkan mengenai kejadian itu supaya membuat pemantauan serta melaporkan kepada bilik gerakan di Crisis Preparedness and Response Centre, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sekiranya terdapat pesakit yang datang dengan tanda-tanda keracunan gas ammonia.

“Kesan keracunan gas ammonia boleh dibahagikan kepada tiga tahap berbeza iaitu mild (ringan), moderate (sedernana) dan severe (teruk). Tanda-tanda keracunan adalah sakit kepala, batuk, kegatalan pada mata, hidung dan drooling of saliva (air liur melilih)… ia juga menyebabkan iritasi dan kelecuran pada kulit yang terdedah.

“Pendedahan yang tinggi akan menyebabkan masalah pernafasan disebabkan oleh saluran pernafasan mengecut (bronchospasm) dan edema di paru-paru…keadaan ini boleh menyebabkan kematian.

“Orang awam yang mengalami tanda dan gejala keracunan gas ammonia dinasihatkan agar segera pergi ke klinik atau fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan,” katanya.-- Bernama




Tags / Kata Kunci: MBSA , kilang ais , ammonia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan