Muhyiddin ambil masa untuk pulih selepas pembedahan - Berita Semasa | mStar

Muhyiddin ambil masa untuk pulih selepas pembedahan

Diterbitkan: Sabtu, 11 Ogos 2018 10:49 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil sedikit masa untuk pulih, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri itu berkata beliau menziarahi Muhyiddin dan mendapati presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkenaan dalam keadaan baik sebelum dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth di Singapura, Selasa lalu.

Muhyiddin menjalani pembedahan untuk mengeluarkan tumor pada pankreasnya, 12 Julai lalu.

"Saya pergi jumpa beliau, beliau dalam keadaan baik.

"Tetapi anda tahu, penyakit seperti ini, tempoh rawatannya agak panjang kerana beliau mungkin perlu melakukan rawatan susulan. Beliau mungkin menjalani kemoterapi," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis tertinggi PPBM yang diadakan di ibu pejabatnya di sini malam Jumaat.

Dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata beberapa isu dibincangkan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan penubuhan parti itu di Sarawak.

"Banyak pandangan yang dinyatakan mengenai Mara. Ini mencerminkan pendapat umum mengenainya.

"Ia sudah menjadi isu yang sensitif yang perlu diberi perhatian oleh parti Bersatu dan Pakatan Harapan.

"Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai," katanya.

Tags / Kata Kunci: Muhyiddin Yassin , pankreas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan