Muhyiddin dibenar keluar hospital - Berita Semasa | mStar

Muhyiddin dibenar keluar hospital

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2018 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dibenarkan meninggalkan Hospital Mount Elizabeth di sini setelah selesai melakukan pembedahan dan menerima rawatan.

“Beliau akan berehat sementara bersama keluarga,” menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Hafiz Abdul Halim dalam kenyataan yang dipaparkan di laman Facebook rasmi Muhyiddin Yassin.

Hafiz mengucapkan penghargaan kepada semua doktor, jururawat serta staf hospital tersebut.

“Terima kasih juga kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan meluangkan masa melawat YB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin semasa beliau di sana,” katanya lagi.

Ketika di sini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut melawat Muhyiddin selepas Timbalannya Teo Chee Hean melakukan kunjungan sama.

Terakhir pada semalam, bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong turut menziarahi Muhyiddin.

Menteri Dalam Negeri itu selamat menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan pada pankreas yang dikesan pada tahap awal.

Muhyiddin mengambil cuti bermula 12 Julai untuk menjalani rawatan susulan dan dijangka bekerja semula dalam masa sebulan.

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri semasa Muhyiddin bercuti.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Muhyiddin , Singapura
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan