Kerana rindu abang kongsi momen indah Kakak - Azzam - Berita Semasa | mStar

Kerana rindu abang kongsi momen indah Kakak - Azzam

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2018 12:37 PM

Allahyarhamah Fatin Nursyahirah Yusuf yang meninggal dunia pada pagi Sabtu lalu, akibat kanser. Foto Facebook Shukur Yusuf

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gambar pasangan pengantin yang tular di media sosial kerana hanya sempat bergelar suami isteri dalam tempoh kurang 24 jam, sebelum salah seorang dijemput Ilahi meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi nikah, subuh dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: “Arwah kata saya nampak segak pakai baju nikah”

Gambar itu menunjukkan pengantin lelaki sedang mencium dahi pengantin perempuan yang sedang terlantar di atas katil, dalam suasana penuh emosi sebaik mereka diijabkabul.

Namun timbul persoalan dalam kalangan netizen yang menyangka salah satu gambar yang dimuat naik abang pengantin perempuan, di halaman Facebooknya adalah pada hari adiknya meninggal dunia akibat kanser.

Mohamad Saiful Azzam dan Fatin Nursyahirah selepas majlis akad nikah, Jumaat lalu. Foto instagram Saifulazzamm

Tanpa usul periksa mahupun membaca coretan Shukur Yusuf yang juga abang pengantin perempuan, Fatin Nursyahirah yang mesra disapa Kakak, netizen menyangka gambar pasangan itu duduk bersama di pelamin sebenarnya adalah hari pernikahan mereka.

Sehubungan itu, Shukur tampil membuat permohonan maaf berhubung kekeliruan itu menerusi status yang dikongsinya di halaman Facebooknya pada Isnin.

“Saya ingin mohon maaf jika ‘posting’ sebelum ini menimbulkan kekeliruan (mungkin kerana saya tidak letak ‘caption’ (keterangan) pada gambar. Maaf sekali lagi.

“Pihak keluarga mohon agar jika tidak yakin dengan sumber yang diterima boleh rujuk terus dengan kami,” katanya ringkas.

Gambar pasangan pengantin, Mohamad Saiful Azzam Mohmed, 25, dan Allahyarhamah Fatin, 24, di katil itu sebenarnya dirakamkan selepas mereka diijadkabul pada majlis akad nikah serba ringkas di Jitra Kedah, Jumaat lalu.

Sementara itu, gambar di pelamin merupakan majlis pertunangan Jun lalu, sebelum Fatin lumpuh separuh badan kira-kira sebulan kemudian, ketika penyakit kanser sarcoma atau kanser tisu yang dialaminya sudah mencapai tahap empat.

(Gambar kiri) Azzam dan Fatin semasa bertunang pada Jun lalu. (Gambar kanan) Saat Azzam dan Fatin (Kakak) yang lumpuh, diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Jumaat. Foto Facebook Shukur Yusuf

Menerusi status yang dikongsi pada Isnin, Shukur turut meluahkan kerinduannya terhadap adik kesayangan yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.

“Rindu... benarlah kata orang, hanya orang yang pernah mengalami kehilangan yang akan tahu betapa peritnya rindu yang tidak berpenghujung. 

“Nak disentuh tiada, nak berbicara tiada. Hanya gambar dan kenangan pengubat jiwa. Doa diutuskan tanda cinta,” menurut tulisannya yang menyayat hati, sambil berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada adiknya selama ini.

Terdahulu, Shukur menerusi coretannya yang penuh emosi di Facebook berkata, adiknya meninggal dunia pada subuh Sabtu lalu, selepas diijabkabulkan pada pagi Jumaat.

Majlis akad nikah, Jumaat lalu.

“Disaat ini, keluarga reda dengan ketentuan. Buat Azzam dan keluarganya, terima kasih atas segala pengorbanan serta kasih sayang yang diberikan untuk Kakak, serta menunaikan impian Kakak biarpun cuma untuk seketika. 

“Alhamdulillah, Kakak nampak berseri masa hari pernikahannya. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik Azzam dan keluarga. Semoga Kakak ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Amin,” katanya.

Dilaporkan, Fatin dibawa ke Hospital Jitra dengan ditemani suaminya, Saiful selepas mengadu sesak nafas pada pukul 3 petang Jumaat iaitu beberapa jam selepas mereka bernikah.

Bagaimanapun, kegembiraan kedua-duanya yang baru bergelar isteri tidak berpanjangan apabila Fatin menghembuskan nafas terakhir­nya di sisi suami di hospital itu pada pagi Sabtu.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan