“Arwah kata saya nampak segak pakai baju nikah” - Berita Semasa | mStar

“Arwah kata saya nampak segak pakai baju nikah”

Diterbitkan: Isnin, 6 Ogos 2018 4:22 PM

Mohamad Saiful Azzam dan Fatin Nursyahirah selepas disatukan sebagai suami isteri. Foto instagram Saifulazzamm

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dari Allah kita datang, kepadaNya juga kita kembali. Kisah pasangan pengantin yang ditakdirkan bergelar suami isteri untuk seketika telah meruntuh perasaan ramai.

Pengantin perempuan yang berusia 24 tahun itu menemui Ilahi akibat kanser sarcoma atau kanser tisu, awal pagi Sabtu lalu, hanya kurang 24 jam selepas mereka diijabkabulkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi nikah, subuh dijemput Ilahi

Kisah pasangan ini tular terutama selepas pengantin lelaki sedia memperisterikan arwah meskipun mengetahui penyakit kronik yang dialami kekasih hatinya, Fatin Nursyahirah Yusuf atau mesra disapa Kakak sudah mencapai pada tahap empat.

Azzam dan Fatin semasa bertunang pada Jun lalu (Gambar kiri) manakala gambar kanan pula Saat Azzam dan Fatin (Kakak) yang lumpuh, diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 3 Ogos 2018. Foto Facebook Shukur Yusuf

Dalam keadaan Fatin yang lumpuh separuh badan, kedua-dua mereka disatukan dalam majlis serba ringkas, tanpa baju pengantin, tiada majlis meriah dan berwarna-warni.

mStar Online telah menghubungi keluarga pengantin lelaki, Mohamad Saiful Azzam Mohmed namun diminta menghormati privasi mereka.

Namun luahan Mohamad Saiful yang dikongsikan di laman sosial Instagramnya mengenai arwah isterinya begitu menyayat hati.

“Separuh jiwa saya menemui Penciptanya. Cinta saya, satu-satunya isteri yang saya cintai, segala-galanya buat saya,” katanya menerusi InstaStory, sambil meminta jasa baik rakan-rakannya untuk menyedekahkan al-fatihah kepada arwah isterinya.

Azzam dan Fatin (Kakak) selamat diijabkabulkan pada pagi Jumaat lalu.

Lebih memilukan apabila pemuda berusia 25 tahun itu turut memuat naik gambar terakhir bersama arwah isterinya.

“Gambar terakhir saya bersama isteri... ye saya memakai baju nikah baju Melayu memandangkan dia (arwah) kata saya nampak segak pakai baju ni,” katanya mengenai isterinya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Mahsuri di Jitra, Kedah.

Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa kisahnya yang tular itu bukan mencetuskan inspirasi, namun sebaliknya ia merupakan sesuatu yang kebiasaannya dilakukan buat insan tersayang.

“Saya rasa anda akan lakukan perkara yang sama kepada insan yang anda cintai. Terima kasih kepada semua ucapan dan doa. Moga Allah berbalikkan kepada kalian kembali. Saya okay. Dia tengah rehat cantik, cantik pakai bedak celak tadi,” katanya. 

Mohamad Saiful yang lebih dikenali sebagai Azzam turut berkongsi gambar dia mencium dahi isterinya yang terlantar di atas katil, sejurus selepas akad nikah.

Sabtu lalu, mStar Online melaporkan perkahwinan pada Jumaat merupakan hasrat arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Sementara itu, abang kepada pengantin perempuan, Shukur Yusuf berkata, majlis akad nikah itu diadakan hasil perbincangan dan persetujuan bersama kedua-dua keluarga terutama keikhlasan Azzam yang sedia menerima Kakak sebagai suri meskipun mengetahui mengenai keadaan kesihatan adiknya.

“Kami terharu dan tak sangka masih ada lagi keluarga dan lelaki di dunia ini yang sudi terima orang yang sedang sakit menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

“Selepas buat majlis, kami rasa bersyukur dapat menunaikan hasrat arwah, dapat satukan kedua-dua mereka sebagai suami isteri,” katanya kepada portal berita ini.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan