PRK Sg Kandis: 19 pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi - Berita Semasa | mStar

PRK Sg Kandis: 19 pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi

Diterbitkan: Sabtu, 4 Ogos 2018 8:53 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dibuka mulai 8 pagi Sabtu bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian yang melibatkan 18 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai akan ditutup pada pukul 5.30 petang.

Tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK itu dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di sini, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).- Bernama

Tags / Kata Kunci: PRK Sg Kandis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan