Najib salah berkempen hari mengundi - Bersih - Berita Semasa | mStar

Najib salah berkempen hari mengundi - Bersih

Diterbitkan: Sabtu, 4 Ogos 2018 4:44 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis pada hari mengundi, kata Bersih 2.0.

"Najib melakukan kesalahan dengan berkempen untuk BN (Barisan Nasional) pada hari mengundi pilihan raya kecil Sungai Kandis," kata pemantau pilihan raya itu di halaman Facebooknya pada Sabtu.

Ia berkata, Najib melanggar Seksyen 26(1)(a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Seksyen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang mana-mana individu untuk mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya.

Seksyen 26(1)(f) akta yang sama melarang mana-mana individu agi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.

Terdahulu pada Sabtu, Najib menggesa para pengundi PRK Sungai Kandis untuk memberi peluang kepada BN untuk menjadi suara pembangkang yang lebih kuat.

Beliau juga menggesa para pengundi menyokong calon BN, Datuk Lokman Noor Adam untuk mempertahankan kepentingan rakyat di Sungai Kandis dan Selangor.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan