"Saya minta maaf" - Berita Semasa | mStar

"Saya minta maaf"

Diterbitkan: Isnin, 30 Julai 2018 11:02 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas dikecam pelbagai pihak, Naib Presiden DAP, M Kula Segaran membuat keputusan untuk menarik balik kenyataan kontroversi dikeluarkannya dalam ucapan di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Menteri Sumber Manusia itu, beliau mendakwa menarik balik kenyataan itu kerana enggan kontroversi itu terus membara.

Malah, beliau juga meminta maaf dan mengatakan sebelum ini beliau tidak pernah mencipta kontroversi dengan mempertikaikan perbezaan kaum dan agama di negara ini.

“Saya akan selalu menjunjung perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkataan seperti ‘sesumpah’. Maksudnya selalu berbeza seperti perkataan ‘pendatang’ yang saya ucapkan dalam bahasa Tamil baru-baru ini.

“Untuk menghentikan semua kontroversi ini, saya buat keputusan minta maaf dan tarik balik kenyataan itu,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Ipoh Barat ini, ucapannya di Nilai baru-baru ini telah disalah erti yang mendakwa beliau menggunakan perkataan ‘pendatang’ merujuk kepada orang Melayu.

“Saya dengan ini meminta maaf di atas wujudnya rasa terluka kepada sesiapa sahaja dengan kenyataan tersebut,” ujarnya.

Kula Segaran mencipta kontroversi baru-baru ini apabila beliau dikatakan mendakwa orang Melayu adalah pendatang di Malaysia dan orang India adalah antara yang terawal berada di Malaysia.

Meskipun sebelum ini beliau dilihat seakan mahu mempertahankan kenyataannya, namun permohonan maaf terbaru ini mungkin mampu meredakan sedikit kontroversi melibatkan isu tersebut.-SinarHarian








Tags / Kata Kunci: Kula Segaran , DAP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan