Panggilan ‘prank’ tak kelakar, ia sungguh ketinggalan! - Berita Semasa | mStar

Panggilan ‘prank’ tak kelakar, ia sungguh ketinggalan!

Diterbitkan: Isnin, 23 Julai 2018 5:57 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Panggilan 'prank' atau usikan yang disiarkan di beberapa stesen radio di negara ini ada kalanya mencuit hati, namun tidak kurang juga dianggap keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti pihak lain.

Timbulnya kebimbangan susulan usikan penyampai radio itu ada rasionalnya kerana ia mungkin mengganggu masa si penerima panggilan.

Posting pengguna media sosial Thaqif Roslim berhubung isu itu tular di Twitter dan rata-rata netizen sependapat dengan pandangannya.

"Panggilan usikan oleh stesen radio di Malaysia perlu dihentikan.

"Anda mengganggu masa produktif orang lain, terutama mereka yang sedang bekerja, yang bertugas menanti panggilan daripada pelanggan, yang sedang belajar atau yang sedang berehat.

"Untuk apa? Untuk hiburan? Saya harap pesanan ini diterima baik oleh radio tempatan kerana saya tahu anda boleh hasilkan program lebih baik daripada panggilan usikan," tulisnya melalui posting yang dimuat naik pada Sabtu.

Posting yang dimuat naik oleh Thaqif Roslim di Twitter pada Sabtu.

Tambah Thaqif Roslim, segelintir orang dibayar berdasarkan jumlah waktu mereka bekerja dan penerima panggilan yang sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pekerjaan tersebut terpaksa pula melayan panggilan sebegitu.

Panggilan usikan adalah panggilan yang dibuat untuk memperdaya seseorang dan kebiasaannya 'mangsa' akan dimaklumkan mengenai perkara sebenar sebelum panggilan ditamatkan.

Cadangan Thaqif Roslim itu disokong oleh pemilik akaun @tehlohsuwi yang berkata: "Panggilan usikan ini sudah tidak kelakar. Ia sungguh 2011 (ketinggalan)."

Bagaimanapun, pengguna Twitter Amir Rahim yang mendakwa mempunyai rakan bekerja di stesen radio tempatan berkata, panggilan sebegitu sebenarnya sudah dirancang dan pemanggil dibayar atau diminta oleh pihak stesen untuk 'berlakon' menjawab panggilan usikan bagi tujuan hiburan.

"Seorang rakan saya bekerja di radio, dia kata mereka yang menerima panggilan itu sama ada rakan kepada mereka yang bekerja di stesen radio atau kenalan kepada kenalan," jelasnya.

Bagaimanapun, pemilik akaun @sayweiling menyangkal dakwaan Amir Rahim dan berkata, mungkin pihak stesen radio sudah mengubah kaedah panggilan dilakukan kerana jika ia sudah dirancang, rakannya tidak mungkin meletakkan panggilan tersebut.

"Beberapa tahun lalu, kawan saya kena panggilan usikan daripada F** dan meletakkan telefon sebaik sahaja dia menyedarinya," kata @sayweiling.

Manakala Kavidha Natarajan pula berkata: "Sekalipun ia dirancang, panggilan itu menjadi semakin 'kejam' dan dialek yang digunakan juga sangat teruk sehingga berbaur rasis dan seksis.

"Ketika ia mula-mula diperkenalkan, ia panggilan yang ringan dan kelakar. Kini, mereka (penyampai radio) terlalu mencuba untuk mendapat perhatian pendengar dan ia tidak bermakna (lame)," tulisnya.

Setakat ini, posting tersebut sudah diulang kicau sebanyak 5,561 kali dan mendapat 3,398 tanda suka.

Tags / Kata Kunci: panggilan usikan , stesen radio , prank
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan