Panjat tebing tinggi demi 'kakak mualaf' inginkan hidayah - Berita Semasa | mStar

Panjat tebing tinggi demi 'kakak mualaf' inginkan hidayah

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2018 12:20 PM

Ebit ketika memanjat semula jambatan untuk naik ke atas.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kesungguhan seorang penceramah bebas menjejaki semula seorang wanita gelandangan mualaf sehingga sanggup mencarinya di bawah jambatan telah menyentuh hati netizen.

Tindakan Ebit Irawan Ibrahim Lew yang langsung tidak mempedulikan keselamatan diri dengan turun menelusuri tebing dinding yang sempit dan tinggi bagi memujuk wanita tersebut akhirnya berhasil.

Posting oleh pendakwah yang popular dengan panggilan Ebit Lew itu tular di media sosial sejak ia dimuat naik pada Rabu.

Menerusi posting tersebut, Ebit Lew berkata, wanita berkenaan dengan rela hati memeluk Islam kerana ingin belajar mendekati Allah.

"Bawah jambatan cari kakak yang inginkan hidayah..hari air mata. Misi pagi ini mengambil seorang kakak semalam masuk Islam.

"Syukur jumpa kakak semalam (Selasa) yang telah mengucap syahadah, dia yang nak belajar...menangis semalam ingin belajar nak dekat dengan Allah," tulis Ebit Lew pada posting berkenaan.

Wanita tersebut (bulatan merah) ketika ditemui Ebit dan rakannya di bawah sebuah jambatan.

Setakat ini, posting tersebut menerima lebih 10,000 tanda suka dan mendapat 5,500 perkongsian di Facebook.

Beliau ketika dihubungi mStar Online berkata, wanita tersebut memeluk Islam pada malam Selasa dan memberitahu bahawa dia tinggal di sebuah jambatan berhampiran Menara AIA di Kuala Lumpur.

"Saya pernah jumpa dia sebelum ini pada waktu tengah malam ketika dia berjalan seorang diri dan pernah berbual dengan dia.

"Saya nampak dia positif, jadi saya cuba sedikit (berdakwah) dan dia suka. Dia meminta saya menasihatinya," kata Ebit Lew pada Jumaat.

Katanya, wanita yang berusia 46 tahun itu seakan hilang arah selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan mula memencilkan diri daripada adik-beradik dan masyarakat luar.

Kini, wanita yang berketurunan India itu dibawa untuk belajar mengenali agama Islam di Kompleks Darul Hidayah, Sentul selama enam bulan.

Ebit Lew bercadang untuk mengambil wanita berkenaan bekerja dengannya sebaik dia tamat menghadiri kelas tersebut.

"Dia cakap dia suka kerja yang tidak berjumpa dengan orang. Jadi mungkin saya akan berikan dia kerja di kilang yang menyediakan makanan untuk restoran saya.

"Saya memang fikir untuk bantu dia sampai ke sudah (tidak setakat memeluk Islam)," jelas pendakwah yang berasal dari Muadzam Shah ini.

Ebit dan rakan-rakannya bergambar bersama wanita yang ditemuinya di bawah jambatan selepas wanita itu memeluk Islam.

Ebit Lew turut meminta agar orang ramai mendoakan cita-citanya untuk membantu golongan gelandangan dan membina resort iman dapat dicapai.

Menurut penceramah bebas berusia 33 tahun itu, beliau sebelum ini sukar untuk meminta bantuan derma kerana enggan orang lain salah sangka terhadap agama Islam.

Namun, selepas kerap menyantuni golongan gelandangan untuk beberapa kali dalam seminggu dan perbelanjaan tersebut mencecah sehingga RM24,000 sebulan, Ebit Lew mengubah fikirannya kerana ingin membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Beliau bercadang untuk membuka sebuah resort di Negeri Sembilan untuk menempatkan golongan tersebut agar mereka mudah mempelajari tentang Islam.

Mereka yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB, atas nama Kasih Umat Training Ebit Lew - 8603306241.

Tags / Kata Kunci: Ebit Lew , gelandangan , mualaf
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan