Adun Balakong maut kemalangan - Berita Semasa | mStar

Adun Balakong maut kemalangan

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2018 4:34 AM

Gambar fail Ng Tien Chee.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, Tien Chee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang mengesahkan insiden itu berkata, ketika kejadian Tien Chee dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kajang.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kenderaan jenis Nissan x-Trail yang dipandu mangsa melanggar belakang sebuah lori.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Ahmad Dzaffir berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Tien Chee mengalahkan dua pencabar, masing-masing daripada BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan kelebihan 35,538 undi.

Tien Chee memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230). - Bernama

Tags / Kata Kunci: Adun Balakong , Ng Tien Chee
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan