MH17: "Tidak berundur, tidak mengalah" - Berita Semasa | mStar

MH17: "Tidak berundur, tidak mengalah"

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2018 2:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tidak berundur, tidak mengalah!...Itulah pengakuan Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo, dalam usaha untuk terus memburu dalang di sebalik tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, menerusi apa jua saluran perundangan dan diplomatik yang sah.

Beliau berkata, jika perlu, sekatan antarabangsa juga harus dipertimbangkan sebagai pilihan untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan terhadap mangsa dan keluarga mereka.

"Saya percaya pasukan penyiasat mempunyai semua bukti untuk mendakwa semua yang terlibat. Hanya menunggu masa untuk mereka dituduh dan didakwa di mahkamah.

"Walaupun individu yang terlibat tidak dapat diekstradisi kepada pasukan pendakwaan antarabangsa buat masa ini, proses perundangan tetap perlu ada," katanya kepada Bernama, di sini Rabu.

Memetik kejayaan mendakwa Ratko Mladic dan Radovan Karadzic di atas penglibatan mereka dalam pembunuhan beramai-ramai Srebrenica, Duta itu berharap semua pihak tidak berputus asa.

Mladic dan Karadzic dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY), pada tahun 2017, lebih 20 tahun selepas perang Bosnia 1992-1995 berakhir.

ICTY ialah mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadili kes jenayah perang yang berlaku semasa konflik di Balkan pada tahun 1990-an.

Sementara itu, Nechytaylo berkata Ukraine gembira dengan kerjasama yang mereka terima daripada ahli-ahli Pasukan Siasatan Bersama (JIT) dari Malaysia, Australia, Belgium dan Australia, untuk memastikan keadilan terhadap keluarga mangsa.

Selasa menandakan ulang tahun keempat tragedi MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, selepas pesawat malang itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web pada 24 Mei, JIT berkata pasukan itu yakin peluru berpandu BUK TELAR telah digunakan untuk menambak jatuh MH17 dan ia berasal daripada Brigade ke-53 Peluru Berpandu AntiPesawat (Briged 53), milik tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk dalam Persekutuan Rusia.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan semua tuduhan tersebut. -Bernama

Tags / Kata Kunci: MH17 , dalang , Ulraine
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan