Syed Saddiq... perunding imej kata lagi 30 peratus saja! - Berita Semasa | mStar

Syed Saddiq... perunding imej kata lagi 30 peratus saja!

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2018 1:02 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Memegang jawatan penting negara pada usia muda serta memiliki kumpulan pengikut yang ramai menjadikan setiap aspek kehidupannya mendapat perhatian pelbagai pihak.

Terbaharu, pemilihan fesyen Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat pada Rabu mencuri tumpuan seorang perunding imej.

Menerusi analisis yang dimuat naik ke laman Facebook, Mary Anni Masarip, 35, membuat huraian terperinci mengenai pemilihan gaya menteri muda itu.

"Sebenarnya saya menerima banyak mesej dari orang ramai yang minta saya buat analisis imej Syed Saddiq.

"Tapi saya buat ulasan secara positif dan ia tidak bersifat peribadi. Malah saya komen apa yang dipakai semalam sahaja.

"Bagi saya dia seperti anak muda lain yang ada kecenderungan untuk berfesyen. Kini dia dalam fasa peralihan dan saya nampak gaya dia ke arah profesional sudah mencapai 70 peratus," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis.

Antara paparan analisis imej oleh Mary yang dimuat naik ke laman Facebook miliknya pada Rabu.

Menerusi posting di laman Facebook, Mary menegur pemakaian sut berwarna beige oleh Syed Saddiq yang dikatakan lebih sesuai untuk acara tidak rasmi sahaja.

Jelasnya lagi, sut berwarna navy blue dan kelabu gelap lebih sesuai untuk disarungkan dalam acara bersifat rasmi seperti persidangan rasmi kerajaan itu.

Susulan perkongsian itu, Mary turut menerima kecaman segelintir netizen yang menganggap aspek pakaian adalah isu remeh dan tidak perlu diperbesarkan.

"Imej tak begitu penting puan. Yang paling penting YB yang dipilih oleh rakyat tidak menipu dan buat kerja untuk rakyat," tulis Munaarfah Abu Bakar.

"Tak usah la memberatkan isu imej pada seorang menteri. Cukup la dia pening mengurus rakyat," tulis seorang lagi pengguna Facebook.

Tidak melatah dengan kecaman, Mary berkata dia meraikan semua komen walaupun apa yang ditulis mungkin berlawanan dengan pendapatnya.

"Ini menunjukkan tugas saya dan perunding imej yang lain masih panjang untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan imej dan keterampilan.

"Untuk senang faham, konsepnya seperti kita pergi masjid, mesti pakai pakaian bersesuaian. Begitu juga penebar roti canai, dia perlu tampilkan imej bersih," jelasnya lagi.

Selain menteri belia dan sukan, Mary turut menamakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Ashraf Wajdi sebagai figura politik yang bagus dalam keterampilan.

Sementara itu, penampilan terkini Syed Saddiq di Dewan Rakyat pada pagi Khamis menerima pujian dari perunding imej tersebut.

Menerusi posting terbaharu di laman Facebook, Mary mengucapkan tahniah kerana menteri muda itu berjaya menampilkan penampilan yang dikatakan lebih baik berbanding Rabu.

Posting terbaharu Mary pada Khamis yang memuji penampilan Syed Saddiq yang dikatakan lebih baik berbanding apa yang digayakan pada Rabu.

Mary yang berpangkalan di Bandar Baru Ampang pengalaman selama 10 tahun sebagai perunding imej.

Sepanjang kerjaya, dia mengendalikan lebih 500 bengkel dan kerap diundang ke beberapa stesyen televisyen tempatan untuk berbicara mengenai imej dan fesyen.

Tags / Kata Kunci: Syed Saddiq
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan