Belum boleh sahkan Jho Low ditangkap - KPN - Berita Semasa | mStar

Belum boleh sahkan Jho Low ditangkap - KPN

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2018 12:23 PM

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Laporan mengenai dakwaan penangkapan ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low perlu disahkan, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Saya tak boleh nak sahkan berita itu lagi dan saya perlu buat semakan," kata Ketua Polis Negara itu ketika ditanya mengenai laporan penangkapan Jho Low di China.

Terdahulu dalam sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan di Persada Plus di sini Khamis, Mohamad Fuzi berkata Notis Merah Interpol telah dikeluarkan terhadap Jho Low.

"Kita juga tidak pasti lokasi sebenar dia. Kita tiada maklumat lengkap.

"Berdasarkan risikan kita, kita percaya dia berkunjung ke Taiwan, Hong Kong, Macau dan China. Itu lokasi terakhir yang kita ada. Namun kita tidak pasti di mana dia berada ketika ini.

"Jika kita mempunyai lokasi sebenarnya, kita akan mengecilkannya dan memohon bantuan daripada negara berkaitan. Proses itu masih berterusan," katanya.

Di Parlimen, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata beliau menyambut baik berita dakwaan Jho Low sudah ditahan di China.

Namun, beliau tidak menyedari mengenai berita terbaharu itu.

"Saya harap dia ditangkap," katanya.

Pada Rabu, blog Sarawak Report memetik laporan sebuah stesen radio Hong Kong yang tidak dinamakan melaporkan Low ditahan di China.

Tags / Kata Kunci: Jho Low , 1MDB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan