Tak perlu diskriminasi LGBT di tempat kerja - Berita Semasa | mStar

Tak perlu diskriminasi LGBT di tempat kerja

Diterbitkan: Selasa, 17 Julai 2018 3:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak harus menjadi mangsa diskriminasi di tempat kerja mahupun persekitaran lain kerana kecenderungan seksual mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dr Mujahid yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam berkata tiada alasan untuk menghalang sesiapa dari perkhidmatan awam dengan syarat mereka mematuhi nilai sosial dan budaya di tempat kerja.

"Mana-mana rakyat Malaysia adalah bebas dan tidak boleh menjadi mangsa diskriminasi di tempat kerja atau dilucutkan hak keadilan.

"Jika mereka berdiam dan melakukan kerja tanpa mencabar sistem, jadi tidak timbul masalah. Namun jika mereka mengisytiharkan secara terbuka dan penuh bangga maka ia bertentangan dengan nilai masyarakat Islam dan undang-undang di negara kita," katanya kepada pemberita selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada Selasa.

Dr Mujahid diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Numan Afifi didesak untuk meletak jawatan sebagai pegawai akhbar sementara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman kerana kecenderungan seksualnya.

Beliau berkata ia terpulang kepada Numan untuk membuktikan bahawa dia meletak jawatan kerana didesak berbuat demikian.

"Dia memilih untuk meletak jawatan jadi saya tidak ada komen mengenai perkara itu. Sekiranya ada tekanan maka dia perlu membuktikannya dengan memberitahu dia didesak.

"Apa sahaja kecenderungan seksualnya, dia berdiam diri dan meletak jawatan tanpa mencabar sistem itu," katanya.

Dr Mujahid turut berkata beliau konsisten dengan pendirian kerajaan terhadap golongan LGBT bahawa ia bertentangan dengan budaya negara ini.

Terdahulu di lobi Parlimen, Syed Saddiq sekali lagi enggan menjawab komen berhubung pendiriannya terhadap LGBT dan isu pelantikan Numan.

Beliau mengulangi bahawa pelantikan itu adalah salah faham dan berkata media perlu mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Numan.

Tags / Kata Kunci: LGBT , diskriminasi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan