Syed Saddiq bangkit 'kisah anak kucing' dalam Dewan Rakyat - Berita Semasa | mStar

Syed Saddiq bangkit 'kisah anak kucing' dalam Dewan Rakyat

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2018 3:58 PM

(Gambar kiri) Saddiq Syed ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 di angunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama (gambar kanan) Insta Story di akaun instagram Syed Saddiq yang memaparkan Hishammuddin.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sesi pembukaan sidang Parlimen ke-14 pada Isnin menjadi tumpuan apabila terdapat ramai muka baharu yang bergelar wakil rakyat.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pertama kali memasuki Dewan Rakyat di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Berkongsi keterujaan itu di akaun Instagram miliknya, beliau memuat naik video yang memaparkan Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Insta Story.

The man who called me anak kucing when i contested in Muar (lelaki yang panggil saya anak kucing semasa saya bertanding di Muar,” menurut keterangan video yang merujuk kepada Hishammuddin yang sedang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sembrong pada sidang Dewan Rakyat penggal ke-14, Isnin.

Namun gara-gara video tersebut, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan dikritik netizen kerana bersikap tidak profesional kerana menyindir Hishammuddin.

“Dah jadi menteri pun masih ‘bitter’ (tidak puas hati),” soal seorang netizen.

Syed Saddiq kemudian membalas kritikan tersebut sambil menafikan tindakannya itu bukan untuk memalukan bekas menteri pertahanan itu.

“Apa yang bitter-nya? Saya tak mencaci atau mengeji. Tak berniat nak memalukan pun. Sebab tu saya tag DS (Datuk Seri) @HishammuddinH2O sekali. Sebelum ni pun dah banyak kali berinteraksi.

“Cuma nak tunjuk bahawa anak muda mampu dan tidak sepatutnya diperkecilkan. A reminder to all, including me (satu peringatan untuk semua, termasuk saya),” tulisnya.

Semasa kempen pilihan raya umum Mei lalu, Hishammuddin yang merupakan Naib Presiden Umno ketika itu melabelkan Syed Saddiq sebagai ‘anak kucing’.

Beliau mengingatkan masyarakat Muar untuk tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba mengeksploitasi kawasan mereka terutama Syed Saddiq yang ‘setahun jagung’.

Pada pilihan raya umum lalu, Syed Saddiq berjaya menawan hati pengundi Parlimen Muar selepas menewaskan penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal, Datuk Seri Razali Ibrahim dari Barisan Nasional (BN-Umno).

Syed Saddiq menewaskan Razali dan pencabar Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan