Mohamad Ariff lepas semua jawatan Amanah sebelum dilantik Speaker Dewan Rakyat - Berita Semasa | mStar

Mohamad Ariff lepas semua jawatan Amanah sebelum dilantik Speaker Dewan Rakyat

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2018 6:51 PM

Mohamad Ariff Md Yusof

Mohamad Ariff Md Yusof. Foto FAIHAN GHANI/The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah meletakkan kesemua jawatan dalam Parti Amanah Negara (Amanah) pada akhir Jun lepas bagi membolehkan beliau bebas dan berlaku adil dalam menjalankan tugasnya sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan keputusan yang dibuat sepanjang memegang jawatan tertinggi Dewan Rakyat itu tidak terikat dengan jawatan dalam parti politik yang disertainya sebelum ini.  

“Semua jawatan itu telah dilepaskan lebih awal daripada 1 Julai, mungkin pada 26 atau 28 Jun lepas atau lebih awal lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Isnin.

Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir mendedahkan Mohamad Ariff yang sebelum ini menjadi anggota Majlis Penasihat Pakar Amanah merangkap pengerusi lembaga disiplin dan tata tertib telah melepaskan semua jawatan beliau itu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang keluar dewan selepas membantah pelantikannya, Mohamad Ariff berkata, beliau percaya tindakan itu menunjukkan hak demokrasi dan kebebasan bersuara diamalkan dalam Malaysia Baharu.

Beliau turut meminta rakyat memberi masa untuk melihat apa perubahan yang telah dibawa dan apa yang perlu diperbaiki termasuk demokrasi di Parlimen dan pelantikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Kami akan tunggu dan lihat. Ini adalah perkara yang perlu dibincang, saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Kami akan membincang dan melihat bagaimana untuk memperbaiki prosedur dan pretasi Parlimen dan matlamat kami untuk mempunyai Parlimen yang lebih baik. itulah visi yang mahu kami capai,” katanya.

Mengenai isu larangan liputan terhadap media di lobi Parlimen yang dikenakan oleh pendahulunya, Tan Sri Pandikar Amin Mula, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Komunuikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan