Dewan Rakyat bersidang hari ini - Berita Semasa | mStar

Dewan Rakyat bersidang hari ini

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2018 9:50 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan memulakan mesyuarat pertamanya pada Isnin selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.

Mesyuarat akan bermula pada 10 pagi dengan urusan pertama yang akan diselesaikan iaitu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad mengesahkan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yunos akan dilantik memegang jawatan penting itu.

Selepas pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, urusan mesyuarat akan diteruskan dengan istiadat angkat sumpah anggota Parlimen, diketuai Dr Mahathir.

Kesemua 221 Anggota Dewan Rakyat dijangka mengangkat sumpah kecuali Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Anggota Parlimen Pagoh, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas baru-baru ini.

Urusan mesyuarat kemudiannya akan disusuli dengan pemilihan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada kalangan anggota Parlimen bagi membantu Yang Dipertua Dewan Rakyat mengendalikan urusan mesyuarat dan memastikannya berjalan lancar.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara menyaksikan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dan detik itu akan disiarkan secara langsung oleh semua stesen TV utama negara.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan merasmikan serentak persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Selasa.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 5 April lepas, sebelum ia dibubarkan pada 7 April untuk memberi laluan kepada PRU14 diadakan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Dewan Rakyat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan