Anwar tawar diri tanding presiden PKR - Berita Semasa | mStar

Anwar tawar diri tanding presiden PKR

Diterbitkan: Ahad, 15 Julai 2018 10:46 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti tersebut akhir Ogos nanti.

Keputusan itu diumumkan Anwar dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebooknya pagi Ahad.

Anwar berkata, keputusan tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi PKR , selain meneliti setiap pandangan yang dilontarkan.

"Sejak Pemilihan PKR pada 2007, saya telah diminta untuk memimpin PKR selaku Presiden. Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti. Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur, sementara Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) kekal selaku Presiden PKR.

"Maka wajar kita melihat ke belakang sebagai pedoman ke hadapan, Azizah mengemudi PKR selaku Presiden usai tahun 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi.

"Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga Umno-BN pada PRU Ke-12, meraih undi popular mencecah 51 peratus pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas.

"Justeru setelah berbincang dengan Azizah, timbalan presiden, dan kepimpinan lain serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan presiden PKR," katanya.

Menurut Anwar, sekiranya menang beliau akan menggantikan kerusi isterinya pada November nanti.

"Insya-Allah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku presiden selepas selesai Kongres Nasional PKR pada November 2018," katanya.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata keadaan kesihatan Anwar bukan masalah besar untuk beliau tampil bertanding bagi kerusi panas itu.

Malah katanya, Anwar semakin pulih selepas menjalani rawatan di Turki.

"Keadaan kesihatan beliau tidak jadi masalah… kalau dilihat beliau semakin pulih cuma sekarang masih dalam pemantauan doktor," katanya.

Anwar kini berada di Turki kerana mendapatkan rawatan kesihatan selepas menjalani pembedahan melibatkan tulang belakang dan bahu di sana.

Ahmad Fahmi yang menyokong cadangan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin supaya Anwar bertanding sebagai presiden parti turut bersetuju langkah itu akan membuka laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen dan seterusnya menjadi Perdana Menteri ke-8.

Tags / Kata Kunci: Anwar Ibrahim , presiden , PKR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan