Mangsa maut 'pelik' sebelum kemalangan - Kakak - Berita Semasa | mStar

Mangsa maut 'pelik' sebelum kemalangan - Kakak

Diterbitkan: Sabtu, 14 Julai 2018 8:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: “Saya mungkin tidak tidur di rumah kakak lagi, saya akan tidur di tempat lain, di mana-mana,” demikian kata-kata terakhir seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Km 445 Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Sabtu kepada kakaknya sebelum terlibat dalam kejadian pada tengah hari tadi.

Noor Bunga Mawarraya Mohamad  Noor, 50, berkata arwah adiknya Noorakhirludin Alam, 48, yang berasal dari Pulau Pinang kebiasaannya akan tidur di rumahnya di Jalan Peel, Kuala Lumpur setiap kali ke ibu negara untuk melawat kedua-dua anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di sini.

“Tetapi saya berasa pelik apabila secara tiba-tiba arwah berkata demikian ketika saya menghubunginya sebelum terkorban dalam kemalangan tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui Bernama di rumah mayat Hospital Sungai Buloh, Sabtu.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk melawat anak perempuannya yang berusia 15 tahun dan bersekolah asrama penuh di Cyberjaya serta seorang anak lelakinya, 14, yang sedang belajar di Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Katanya selain adiknya, turut sama dalam kenderaan jenis Vellfire itu ialah adik iparnya yang dikenali sebagai Maskiah, 40-an, mengalami cedera ringan serta anak bongsu mereka, Ezzudin, 11, yang kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana cedera parah akibat kemalangan itu.

Jenazah Noor Akhirludin Alam, yang juga seorang pengurus kanan sebuah syarikat swasta dan bapa empat anak itu akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Pulau Pinang selepas selesai urusan di hospital berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, empat maut, seorang cedera parah manakala tiga yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah treler di Km 445 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan kedua-dua arah.

Tiga lagi mangsa yang terkorban masing-masing berusia 24 tahun dan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza dikenali sebagai Nur Fitrah Rosman dari Ipoh, Nurbaya Mohd Zaki dari Sungai Petani, Kedah serta Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din dari Teluk Intan Perak.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang menghala ke arah utara terbabas sebelum memasuki  lorong bertentangan ke arah selatan lalu melanggar kenderaan di laluan berkenaan.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Kemalangan maut
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan