Bro Saddiq menteri smart, cerdas - Jokowi - Berita Semasa | mStar

Bro Saddiq menteri smart, cerdas - Jokowi

Diterbitkan: Sabtu, 14 Julai 2018 11:03 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertemu idolanya, Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa lawatan kerja ke republik itu pada Sabtu.

Beliau memuat naik video berdurasi 57 saat semasa berada di dalam sebuah kereta bersama pemimpin negara jiran yang lebih dikenali sebagai Jokowi di laman Facebooknya pagi Sabtu.

"Assalamualaikum. Hari ini saya bersama bapak Presiden yang merupakan idola saya dan anak muda di Malaysia dan juga Indonesia," katanya dalam video tersebut.

Dalam posting di Facebooknya, Syed Saddiq turut memberitahu Jokowi turut memanggilnya bro.

"Dia (Jokowi) panggi saya bro," katanya berserta dengan emoji gelak sampai keluar air mata dan peace.

Jokowi dalam video tersebut dilihat selesa bersama dengan Syed Saddiq di dalam sebuah kereta.

"Saya berada di dalam satu mobil dengan bro Saddiq, saya senang sekali ada menteri yang smart, cerdas... satu mobil dengan saya," katanya dalam nada berseloroh.

Jolokan bro mula dikaitkan dengan Syed Saddiq selepas Ahli Parlimen Muar itu dalam Twitternya menganggap bekas 'pegawai medianya' Numan Ariff sentiasa menjadi bro beliau susulan peletakan jawatan penuh kontroversi individu terbabit.

"Segala khidmat kamu sebelum ini tidak ternilai sejak hari berkempen. Moga sentiasa tabah dan saya sentiasa menghormati keputusan. Kamu akan sentiasa jadi bro saya," kata Syed Saddiq.

Sementara itu, Jokowi turut mengalu-alukan kerjasama Indonesia-Malaysia dalam pelbagai bidang.

"Indonesia dan Malaysia sebagai saudara serumpun, marilah kita bekerjasama dalam segala bidang perniagaan, hubungan tenaga kerja dan semuanya saya ingat harus baik," katanya.

Difahamkan Syed Saddiq dan Jokowi berada di Palembang untuk meninjau persiapan Sukan Asia yang akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Tags / Kata Kunci: Syed Saddiq , Joko Widowo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan