Video pukul budak berlaku di Mesir, bukan Malaysia - Berita Semasa | mStar

Video pukul budak berlaku di Mesir, bukan Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2018 1:36 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebuah video yang tular, menunjukkan seorang lelaki memukul sekumpulan kanak-kanak menggunakan batang kayu di sebuah rumah kebajikan tidak berlaku di Malaysia, sebaliknya terjadi di Mesir empat tahun lalu.

Klip video berdurasi 1 minit dan 51 saat yang dikongsikan menerusi aplikasi mudah alih, WhatsApp itu menunjukkan seorang lelaki berbaju biru sedang memukul tujuh kanak-kanak di bahagian punggung mereka, secara bergilir menggunakan batang kayu.

Lelaki tersebut turut dilihat menendang setiap kanak-kanak berkenaan sebaik saja memukul mereka.

Salah seorang daripada kumpulan kanak-kanak itu menangis dan merayu agar tidak dipukul.

Teks yang disertakan dengan video di WhatsApp itu turut meminta orang ramai berkongsi video tersebut dengan kenalan mereka, dan mendakwa bahawa lelaki di dalam video tersebut merupakan seorang guru di Sekolah RM VM di Valsad, Gujarat di India.

Ia sebenarnya berlaku di rumah anak yatim yang dikendalikan oleh pengurus, Osama Mohamed Othman di Rumah Anak Yatim Dar Mekar Al-Mokarama di Giza, Mesir, lapor media Britain, Daily Mail pada Ogos 2014.

Laporan yang memetik Gulf News memberitahu, isteri Osama yang tidak lagi duduk bersamanya merakamkan tindakan tersebut kerana mahu mendedahkan suaminya.

Menurut laporan itu, Osama bagaimanapun mendakwa dia melayan anak-anak yatim itu seperti anaknya dan hanya mahu mereka berkelakuan baik.

Osama turut memberitahu, kanak-kanak terbabit menonton televisyen dan membuka peti sejuk tanpa kebenarannya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan